Carian
Syarikat Malaysia Dikenakan Sekatan Amerika Syarikat Kerana Berurusan Dengan Rusia
June 4, 2024 Effi Saharudin

Sering kami laporan syarikat China dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat kerana didakwa menggunakan teknologi yang diimport dari negara mereka bagi tujuan ketenteraan. Huawei dan DJI adalah dua syarikat besar yang dikenakan pelbagai halangan sejak empat tahun lalu. Kini menurut laporan Al Jazeera, sebuah syarikat Malaysia juga telah dikenakan sekatan yang sama.

Jatronics Sdn Bhd ialah antara 300 syarikat yang dimasukkan ke dalam senarai sekatan Amerika Syarikat bulan lalu kerana berurusan dengan Rusia. Syarikat yang sudah beroperasi sejak 2003 ini dikatakan menghantar komponen semikonduktor, wafer dan mikrocip ke Rusia antara April hingga September 2022 bernilai $3 juta.

Ini kemudiannya digunakan oleh firma di Rusia untuk menghasilkan komponen senjata. Sejak konflik Rusia-Ukraine bermula dua tahun lalu, Rusia dikenakan pelbagai sekatan teknologi bagi melumpuhkan ekonomi serta kemampuan persenjataan negara tersebut. Komponen yang dihantar ke Rusia oleh Jatronics jatuh ke dalam kategori tahap satu yang penting untuk menghasilkan senjata dengan kejituan tinggi tetapi komponen tidak mampu dihasilkan sendiri oleh syarikat tempatan.

Pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata mereka akan menyiasat penglibatan Jatronics seperti yang didakwa oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Insiden ini mendatangkan impak kepada industri semikonduktor Malaysia yang kini menerima pelbagai pelaburan dari syarikat Barat dan China kerana dilihat sebagai negara yang neutral. Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat menguntungkan Malaysia kerana berkemampuan menghasilkan cip sejak lebih 40 tahun.

Strategi Semikonduktor Kebangsaan yang diumumkan Perdana Menteri minggu lalu dengan pelaburan $5.3 bilion (~RM25 bilion) bagi melatih seramai 60 ribu jurutera semikonduktor tempatan ialah antara usaha kerajaan untuk mengambil peluang yang kini terbuka.

Komen