Rakyat Malaysia di kawasan berpendudukan sudahpun sedia menggunakan rangkaian 5G sejak tahun 2023, dan pada awal tahun ini, ia diumumkan bahawa 80.2 peratus daripada kawasan berpenduduk di Malaysia sudahpun boleh menggunakan rangkaian internet mudah-alih pantas tersebut.

Rangkaian 5G ini dikelola dibawah syarikat Digital Nasional Berhad yang membangunkan infrastruktur rangkaian ini, dan dimanfaatkan oleh kebanyakan syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan. Apa yang menarik ialah ekuiti DNB juga dipegang oleh sejumlah syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan, seperti CelcomDigi, U Mobile, YTL Power International dan Telekom Malaysia.
Hari ini, Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil telah menerima kunjungan hormat oleh Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanglong, dimana mereka telah membincangkan tentang pembangunan rangkaian 5G kedua di Malaysia.
Menjawab persoalan pihak media, syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan ini akan melengkapkan proses pemegangan ekuiti pada DNB pada 21 Jun ini, beberapa bulan selepas ia sepatutnya dilengkapkan pada penghujung tahun lepas.
Menurut Fahmi Fadzil lagi, beliau mengatakan bahawa proses pembangunan rangkaian 5G kedua ini hanya akan dibuka kepada syarikat telekomunikasi yang telah melengkapkan pegangan ekuiti pada DNB. Setakat ini butiran seperti bilakah rangkaian ini akan mula dibangunkan, dan juga siapakah yang akan boleh memanfaatkannya tidak diketahui lagi.
Walaupun begitu, ia dilihat sejajar dengan pelan kerajaan untuk memastikan 80 peratus daripada keseluruhan Malaysia akan dapat menggunakan rangkaian 5G pada penghujung 2026.