Carian
Suno Dan Udio Disaman Syarikat Rakaman Muzik Kerana Didakwa Melanggar Hak Cipta
June 25, 2024 Effi Saharudin

Syarikat kecerdasan buatan (AI) generatif Suno dan Udio telah disaman oleh Sony Music, Universal Music Group dan Warner Records kerana didakwa melanggar hak cipta muzik milik mereka. Dalam writ saman yang difailkan, syarikat-syarikat rakaman ini mengatakan muzik yang dijana AI generatif akan bersaing, merendahkan nilai dan mengambil tempat muzik yang dihasilkan oleh manusia.

Dakwaan hak cipta muzik mereka dilanggar adalah berdasarkan kemampuan Suno dan Udio menghasilkan lagu yang sama bunyinya dengan yang dihasilkan oleh artis rakaman syarikat. Suara penyanyi yang dijana AI juga mirip beberapa artis seperti ABBA dan Michael Jackson.

Syarikat rakaman ingin meminta ganti rugi sebanyak $150,000 (~RM706,000) untuk setiap hak cipta lagu yang dilanggar oleh kedua-dua syarikat AI. Suno didakwa melanggar hak cipta 662 lagu manakala Udio pula lebih tinggi dengan 1,670 lagu.

Bulan lalu, Sony Music memberikan amaran kepada 700 syarikat supaya tidak menggunakan muzik artis mereka untuk melatih model AI. Nama-nama syarikat ini tidak didedahkan pada waktu tersebut. Hanya beberapa hari lalu Sony Music membayar £1 billion kepada ahli kumpulan Queen untuk membeli hak katalog dan penerbitan lagu kumpulan tersebut. Dengan belanja yang tinggi telah dilakukan untuk memiliki hak cipta, syarikat rakaman kini akhirnya mula menyaman syarikat AI yang melanggarnya.

Komen