Carian
LG
LG Memulakan Pengeluaran Skrin Tandem OLED Secara Besar-Besaran
June 25, 2024 Fahim Zahar

Tandem OLED adalah kaedah baharu yang Apple gunakan untuk mendapatkan skrin iPad yang berkali ganda cerah. Pada iPad Pro M4 baharu, dua panel OLED digabungkan untuk mendapatkan kecerahan mencapai 1600-nits. Terbaru, LG telah memulakan pengeluaran secara besar-besaran skrin Tandem OLED untuk komputer riba.

Perkara ini tidak mengejutkan kerana LG masih merupakan antara pembekal skrin untuk Apple. Pada iPad Pro 13-inci M4, skrin yang digunakan adalah daripada LG berbanding versi 11-inci daripada Samsung. Untuk skrin komputer riba, LG menjanjikan skrin baharu ini boleh mencapai kecerahan tiga kali ganda lebih baik berbanding skrin OLED biasa. Bukan itu sahaja, penggunaan kuasa juga adalah 40% lebih jimat dan rekaan pula 40% lebih nipis.

Dengan komputer riba baharu sekarang menyasarkan penggunaan AI dengan cip Snapdragon X, pengeluar ingin menawarkan komputer riba Windows yang boleh menewaskan kemampuan MacBook Air. Jadi rekaan nipis dan ringan seperti identiti MacBook Air menjadi kepentingan dan skrin Tandem OLED ini adalah 28% lebih ringan berbanding biasa. Antara komputer riba yang akan menggunakan skrin ini adalah Dell XPS 13 AI PC. Sama-sama kita nantikan lebih banyak komputer riba dengan skrin Tandem OLED.

Komen