Carian
CMF By Nothing Mengacah Tiga Fungsi Unik Pada Produk Baharu Mereka
June 26, 2024 Fahim Zahar

Pada 8 Julai akan datang CMF by Nothing akan melancarkan tiga produk baharu iaitu CMF Phone 1, CMF Buds Pro 2 dan CMF Watch Pro 2. Sedikit demi sedikit rekaan produk telah diacah seperti Phone 1 yang akan mempunyai panel belakang boleh tukar, jam lebih premium dan TWS dengan bekas unik. Baru-baru ini mereka mengacah tiga ciri unik.

Tahun lepas, CMF Buds dilancarkan dengan tombol berputar untuk memasukkan tali lanyard. CMF Buds Pro baharu akan mempunyai tombol berputar yang boleh mengawal audio. Nothing masih tidak menjelaskan sama ada adakah kawalan aras suara atau tukar mod pendengaran.

Seterusnya adalah CMF Watch Pro 2. Tahun lepas mereka menggunakan rekaan muka jam segi empat dengan bezel tebal tidak sekata. Model baharu ini menggunakan muka jam bulat dan turut menyertakan tombol berputar yang boleh digunakan untuk kawalan. Bahan binaan pula adalah aloi aluminium dengan kemasan premium. Berdasarkan apa yang diacah, jam ini mungkin kekal sebagai jam tangan pintar asas.

Akhir sekali adalah CMF Phone 1. Nothing telah pun mengacah yang peranti ini akan mempunyai panel belakang dengan skru yang boleh dibuka oleh pengguna sendiri. Dikatakan ia adalah untuk tukar panel belakang dengan rekaan dan corak berbeza. Spesifikasi tertiris untuk Phone 1 adalah skrin OLED 120Hz 6.7-inci, dijana Dimensity 7200 dengan 8GB RAM dan mungkin kamera 50MP.

Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut menjelang 8 Julai tidak lama lagi. Seperti sebelum ini, setiap produk CMF by Nothing turut akan dijual di pasaran Malaysia.

  • X – CMF by Nothing [1], [2], [3]
Komen