Carian
ASUS Zenbook S16 Turut Boleh Di Pra-Tempah, Harga RM7999
June 28, 2024 Fahim Zahar

Pasti ramai yang menantikan kehadiran laptop AI PC di Malaysia. Lagi-lagi yang dijana cip Snapdragon X1 Elite. Hari ini, ASUS Malaysia mengumumkan yang ASUS Vivobook S15 sudah boleh dipra-tempah. Jika anda mahukan laptop AI dengan cip AMD Ryzen AI 9 HX 370, ASUS Zenbook S16 turut ditawarkan.

ASUS Zenbook S16

Laptop ini menggunakan skrin 16-inci beresolusi 3K. Nisbah paparan adalah 16:10, bezel nipis NanoEdge dan ia turut menyokong kadar segar semula 120Hz. Untuk cip pemprosesan ia dijana dengan AMD Ryzen AI 9 HX 370 yang dipadankan dengan memori 32 GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 1 TB PCIe 4.0 x4 SSD. Memandangkan ini adalah laptop AI, cip baharu AMD ini mempunyai kemampuan memproses AI 28W TDP dan 50 TOPS.

Bahan binaan Ceraluminum pada laptop ini memberi kemasan seakan panel seramik tetapi dengan ketahanan panel aluminium. Zenbook S 16 turut hadir dengan kipas penyejuk yang senyap berserta rekaan kekisi yang membantu menyejukkan peranti. Port sambungan pada laptop ini menawarkan 2x USB-C USB4, 1x USB-A USB 3.2, 1x bicu audio 3.5mm, 1x HDMI dan 1x pembaca kad SD. Bateri 78Wh memberi ketahanan sehingga 12 jam.

Selain Copilot, Cocreator dan ASUS StoryCube, mikrofon AI Noice Cancelation dan kamera FHD AiSense IR yang menyokong Windows Hello turut disertakan. Di Malaysia dua warna ditawarkan dan satu variasi iaitu Zumaian Grey atau Scandinavian White dengan memori dan storan 32GB + 1TB pada harga RM7999. Hadiah yang sama dengan Vivobook S15 tetapi turut didatangkan dengan penyesuai USB-A ke RJ-45.

ASUS Vivobook S15 dan Zenbook S16 sudah boleh dipra-tempah bermula hari ini 28 Jun sehingga 9 Julai. Tarikh laptop ini tersedia adalah 12 Julai dan 29 Julai.

Komen