Carian
Misi Ke Marikh Mungkin Mustahil Dan Ini Semua Salah Ginjal
June 28, 2024 Effi Saharudin

Elon Musk pernah berkata manusia akan tiba ke permukaan Marikh menjelang tahun 2025. Ini masih belum berlaku lagi kerana Musk ialah juara cakap kencang tetapi kosong tak ada barang. Tetapi agensi angkasa lepas China, Rusia dan Amerika Syarikat masing-masing mempunyai perancangan untuk menghantar angkasawan mereka ke Planet Merah dalam tempoh satu generasi sahaja lagi. Tetapi kesemua harapan mungkin tidak akan dicapai kerana kelemahan ginjal manusia.

Saintis dari University College London menerbitkan kajian kesan graviti mikro dan pendedahan kepada radiasi kosmik galaktik (GCR) ke atas ginjal angkasawan. Berdasarkan data kesihatan ginjal tikus dan angkasawan yang pernah tinggal lama di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), penyelidik mendapati terdapat risiko kerosakan kekal pada ginjal apabila melakukan pengembaraan ke Marikh.

Mikrograviti menyebabkan angkasawan mengalami masalah batu karang kerana tubuh memproses garam dan kalsium secara berbeza berbanding di bumi. Apabila simulasi pendedahan kepada radiasi Marikh antara 1.5 hingga 2.5 tahun dilalukan ke atas tikus, kerosakan kekal dikesan pada ginjal sehingga ia gagal berfungsi.

Masih terdapat masa untuk mencari penyelesaian kepada dua masalah ini. Sekiranya tidak, mungkin antara alat yang perlu dihantar ke Marikh ialah mesin dialisis dan ginjal gantian kerana manusia tidak boleh hidup tanpa ginjal. Kita sudahpun muka menguji menggunakan ginjal khinzir sebagai ganti ginjal manusia sungguhpun kesemua penerima akhirnya meninggal dunia.

Komen