Carian
Apple Vision “Murah” Mungkin Menggunakan Skrin Besar Dengan Resolusi Lebih Rendah
July 1, 2024 Fahim Zahar

Pembangunan Apple Vision Pro generasi kedua dijeda kerana Apple dikatakan ingin fokus kepada versi murah terlebih dahulu. Versi ini dikatakan akan memerlukan sambungan iPhone atau Mac berbeza dengan Vision Pro yang boleh berfungsi secara kendiri. Terbaru, Apple Vision versi lebih murah ini dikatakan akan menggunakan skrin yang lebih besar tetapi resolusi lebih rendah.

Laporan oleh The Elec menyatakan, Apple terpaksa mencari alternatif pembekal skrin selain Sony kerana memerlukan pengeluaran yang lebih banyak. Oleh yang demikian, Samsung Display dan LG Dislplay kini menjadi calon untuk pembekal OLEDoS (OLED on Silicon) atau nama lainnya adalah mikroOLED. Spesifikasi skrin yang dipinta adalah dari saiz 2.0-inci ke 2.1-inci dengan 1700 PPI. Apple Vision Pro sekarang menggunakan saiz 1.42-inci dengan 3400 PPI.

Dengan laporan Apple mencari pembekal skrin mikroOLED, ia mengukuhkan lagi laporan sebelum ini Apple benar-benar serius dalam pembangunan set kepala Vision yang lebih mampu milik. Setakat ini Samsung mempunyai skrin mikroOLED 1.03-inci dengan kecerahan tinggi kerjasama bersama eMagin, sementara LG mempunyai skrin 4K 1.3-inci dengan kecerahan mencapai 10,000 nits. Dua komponen baharu ini turut dikatakan mungkin akan menarik minat Apple. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai Apple Vision mampu milik.

Komen