Carian
Ulasan Nubia Z60 Ultra – Di Ambang Kehebatan
July 9, 2024 Fahim Zahar

Setiap kali kami terbitkan ulasan peranti nubia ia pasti sebuah telefon gaming. Kali ini berbeza, kerana Amanz telah berpeluang menguji nubia Z60 Ultra iaitu peranti mercu fotografi mereka. Tidak seperti pesaing yang menggunakan kamera dengan sensor 1-inci, Z60 Ultra menggunakan sensor utama 50MP yang berusia dua tahun lalu. Walaupun begitu, untuk sebuah peranti mercu Snapdragon 8 Gen 3 ia agak menarik dan dalam artikel ini kami menjawab sama ada adakah berbaloi membeli telefon nubia?

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Skrin6.8″ AMOLED, FHD+, 2480x 1116,
120Hz
PemprosesSnapdragon 8 Gen 3 (4nm)

1x 3.3 GHz Cortex-X4
3x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 3.0 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 750
RAM16 GB LPDDR5X
12 GB Maya
Storan512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP IMX800, f/1.59, OIS (Sudut Lebar)
50MP, f/1.8, OIS (Sudut Ultra Lebar)
64MP, f/3.3, OIS (Telefoto)
Kamera Depan12MP, sensor bawah skrin (UDC)
Bateri6000mAh
80W USB-PD
Sim/TelefoniDwi-SIM 5G
AudioSpeaker Stereo
Snapdragon Sound
WiFi, NFC, BluetoothWiFi 7, Ya, Bluetooth 5.4
Infra MerahYa
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap Jari Bawah Skrin
Harga JualanHitam
RM3,599 (16/512 GB)

Berdasarkan spesifikasi, nubia Z60 Ultra adalah sebuah peranti mercu yang hampir sempurna. Ia mempunyai skrin nirbingkai penuh, dijana Snapdragon 8 Gen 3, menggunakan kamera 50MP, mempunyai perlindungan IP68 dan bateri gergasi 6000mAh yang menyokong pengecasan pantas. Peranti ini turut cuba menjadi peranti mercu fotografi 2024 dengan menawarkan ciri fotografi potret yang menarik.

Rekaan peranti ini mirip RedMagic 9 Pro yang menggunakan tubuh berkotak dengan setiap sisi rata. Butang hanya berada di bahagian kiri, rekaan nampak minimalis tetapi bonggol kamera besar gedabak disertakan. Satu plat kaca berbentuk segi empat berada di bahagian atas belakang peranti memuatkan ketiga-tiga sensor dan LED Flash. Setiap butang kuasa dan butang aras suara sedap ditekan dan lebih menarik terdapat satu suis melungsur disertakan yang boleh ditetapkan untuk melancarkan pelbagai aplikasi.

Peranti saiz besar dengan bucu tajam rekaan berkotak ini turut sukar untuk dikendalikan dengan satu tangan. Saya kerap kali perlu ubah kedudukan di dalam tangan untuk menyentuh skrin seperti menatal dan sebagainya. Syukur kemasan peranti tidak begitu licin yang mengurangkan risiko peranti terjatuh.

SKRIN

Skrin 6.8-inci AMOLED FHD+ pada peranti ini nampak gah. Tiada takuk, tiada dahi dan tiada lubang kerana penggunaan bezel yang sangat nipis memberi ilusi peranti ini nribingkai penuh. Perkara ini dibolehkan kerana penggunaan kamera swafoto di bawah skrin. Skrin turut menyokong kadar segar semula 120Hz tetapi kerana bukan jenis LTPO, ia bergantung kepada algoritma perisian. Syukur MyOS 14 bijak dalam mengendalikan skrin peranti ini dengan lancar dan pantas.

Ketiadaan piawaian HDR10+ atau Dolby Vision adalah mengecewakan kerana nubia Z60 Ultra bergantung kepada ciri AI terbina dalam peranti. Ini menyebabkan pengalaman menonton video di Netflix, Disney+ atau Prime Video kurang mengasyikkan. Warna dan kecerahan memang baik cuma dapat rasakan perbezaan profil warna berbanding peranti mercu lain.

BIOMETRI

Sistem biometri peranti ini amat bagus walaupun menggunakan sensor optikal untuk imbasan jari, jari kotor dan di dalam gelap peranti tiada masalah mengimbas dan menyahkunci dengan pantas. Imbasan wajah menggunakan AI juga pantas dan tepat.

PENGGUNAAN – MYOS 14 YANG DAH MATANG

Setiap kali saya menguji peranti ZTE atau nubia pasti saya akan berasa kecewa dengan MyOS. MyOS 14 yang digunakan pada nubia Z60 Ultra adalah berasaskan Android 14. Walaupun tidak sempurna, ia sudah matang dan mempunyai banyak perubahan baik yang memberikan pengalaman penggunaan memuaskan. Sepanjang berminggu menggunakan peranti ini, saya dapati MyOS 14 amat selesa dan padat dengan ciri berguna. Paling penting, tiada lagi terma yang seakan diterjemah secara terus dari bahasa asing ke bahasa Inggeris.

Berikut adalah antara ciri yang menarik ditawarkan pada MyOS 14;

  • Extended RAM- Menambah RAM maya sehingga 12GB.
  • Charge Seperation – Boleh guna sambil caj tanpa menjejaskan kesihatan bateri.
  • Sliding – Butang gelongsor yang boleh ditetapkan kepada pelbagai aplikasi dan sistem.
  • SyncMind -Ciri produktiviti seperti bar sisi pintar dan tetingkap terapung untuk multi-tugasan.
  • Display Gaussion Blur – Boleh mengaburkan sedikit antaramuka untuk tetingkap terapung.
  • Tiny Screen – adalah ciri mengawal kamera bawah skrin yang tersembunyi di bawah panel OLED kedua.

Menggunakan nubia Z60 Ultra sebagai peranti harian memberi pengalaman seakan menggunakan mana-mana peranti mercu dengan spesifikasi lebih kurang sama. Ia seronok dan rasa sangat selesa kerana setiap pengalaman penggunaan tidak mendatangkan sebarang masalah. Jika anda pernah menggunakan peranti RedMagic, nubia Z60 Ultra ini adalah versi ringkas dan lebih ringan.

Saya turut teruja dengan nubia yang langsung tidak menyelitkan sebarang iklan pada peranti mereka walaupun jenama peranti bukan yang paling popular atau paling laris. Satu kerisauan saya dengan peranti ini adalah sokongan kemas kini yang tidak konsisten. nubia hanya berjanji kemas kini biasa selama tiga tahun dan tidak menjelaskan berapa versi Android dan berapa lama kemas kini tampalan sekuriti akan diberikan.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS

Setakat ini semua peranti Snapdragon 8 Gen 3 yang saya gunakan memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan walaupun skor penanda aras bukan yang paling tinggi. Untuk ujian penanda aras peranti ini saya akan bandingkan dengan iQOO 12 iaitu peranti Snapdragon 8 Gen 3 paling murah di Malaysia serta OnePlus 12 yang kedua-duanya dijana cip yang sama.

Antutu 3D

  • nubia Z60 Ultra – 1,970,774
  • OnePlus 12 – 1,579,634
  • iQOO 12 – 2,075,821
  • Xiaomi 14 – 1,773,520

Geekbench 6

  • nubia Z60 Ultra – 2211/6768
  • OnePlus 12 – 967/5020
  • iQOO 12 – 2181/6631
  • Xiaomi 14 – 1741/6313

3DMark Wildlife Extreme

  • nubia Z60 Ultra 5173/30.98 FPS
  • OnePlus 12 – 4632/27.74 FPS
  • iQOO 12 – 5045/30.22 FPS
  • Xiaomi 14 – 4499/26.94 FPS

3DMark Solar Bay

  • nubia Z60 Ultra 8665/32.95 FPS
  • OnePlus 12 – 8452/32.14 FPS
  • iQOO 12 – 8528/32.43FPS
  • Xiaomi 14 – 7722/29.36 FPS

3DMark Steel Nomad Light

  • nubia Z60 Ultra 1724/12.77 FPS

Bermain permua pada peranti ini turut menakjubkan. Marvel SNAP pantas dan lancar, PUBG Mobile juga membuatkan saya leka dan Asphalt 9 pula membuatkan saya lupa untuk makan. nubia masih cuba memberi pengguna peranti ini pengalaman seakan menggunakan RedMagic. Walaupun peranti ini lambat memanas, tetapi apabila ia mula panas sukar untuk saya pegang peranti dan sistem turut menjadi lengah masa. Ini mungkin kerana tiada kipas yang sama pada RedMagic disertakan.

KAMERA

Perkara yang membuatkan penggunaan peranti ini rasa jauh ketinggalan berbanding peranti mercu lain tahun ini adalah kualiti kamera. Kamera 50+50+64 Megapixel yang digunakan bukan daripada sensor terkini, algoritma juga seakan tidak matang dan paling sakit hati adalah kamera swafoto yang masih mempunyai kualiti 3GP.

Sudut ultra lebar tidak mempunyai fokus yang baik, tetapi memelihara butiran menarik.
Zum waktu malam turut berfungsi sebagai makro.
Mod gelap nampak baik tetapi sukar untuk memelihara butiran dan stabil.
Mod potret hanya baik dengan zum 2x, itu pun subjek tidak boleh bergerak.
Jarak dekat untuk makanan paling mudah untuk dapatkan hasil terbaik.
Mod auto di waktu pagi mempunyai nilai dinamik yang tinggi.
Mod auto 1x untuk ramai orang juga mempunyai kualiti baik, cuma warna sedikit tajam.
Gambar swafoto paling tidak boleh diterima, bayangkan ini adalah kualiti kamera telefon RM3599.

VIDEO

Rakaman video pada peranti tidak begitu stabil dan menarik. Warna juga tidak konsisten tetapi ia mempunyai sistem fokus yang pantas. Saya masih rasa aneh kenapa rakaman video pada iPhone, Samsung dan Google Pixel masih lagi antara terbaik dan peranti lain tidak boleh mengikuti apa yang tiga jenama ini tawarkan.

AUDIO

Speaker stereo pada peranti menggunakan sistem Snapdragon Sound dan juga DTS Sound. Suara yang seimbang dapat dikeluarkan tetapi sayang sekali aras suara tidak begitu konsisten dengan tahap bawah 50% adalah sangat perlahan dan benar-benar kuat hanya bermula dari 70% dan ke atas sahaja. Kualiti audio juga rasa kosong, tiada bass dan tidak memberi pengalaman mengasyikkan. Walaupun begitu ciri Hi-Res dan audio nirhilang ada diberikan dengan menggunakan aksesori melalui sambungan USB-C.

BATERI DAN PENGECASAN

Fuh!. Bateri peranti ini sangat dahsyat. 6000mAh dengan pengecasan 80W adalah padanan terbaik dan hampir sempurna. Bateri boleh bertahan sekitar 10 jam SOT untuk penggunaan ringan dan 8 jam SOT untuk penggunaan berat seperti kamera, audio dan permua. Tempoh pengecasan pula adalah sekitar 30 minit sahaja dan jika ingin bermain sambil caj juga tiada masalah kerana ada ciri Charge Separation.

PERBANDINGAN DENGAN PESAING

nubia Z60 UltraOnePlus 12iQOO 12
6.8″ AMOLED, FHD+, 2480x 1116,
120Hz
6.78″ LTPO AMOLED, 3168 x 1440 QHD+, 120Hz, 4500 nits6.78″ AMOLED 144Hz, 2800 x 1260
HDR10+, 1400 nits
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)

1x 3.3 GHz Cortex-X4
3x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 3.0 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)

1x 3.3 GHz Cortex-X4
3x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 3.0 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)

1x 3.3 GHz Cortex-X4
3x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 3.0 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Adreno 750Adreno 750Adreno 750
16 GB LPDDR5X
12 GB Maya
16 GB RAM LPDDR5X
12 GB Maya
16 GB RAM LPDDR5X
12 GB Maya
512 GB UFS 4.0512 GB UFS 4.0512 GB UFS 4.0
Kamera Utama
50MP IMX800, f/1.59, OIS (Sudut Lebar)
50MP, f/1.8, OIS (Sudut Ultra Lebar)
64MP, f/3.3, OIS (Telefoto)
Kamera Utama
50MP LYT-808, f/1.6, OIS/EIS (Sudut Lebar)
64MP, OmniVision OV64B, f/2.6, OIS/EIS, 3x + 6x zum (Persiskop Telefoto)
50MP IMX581, f/2.2, EIS (sudut ultra lebar)
Kamera Utama
50MP f/1.68, OIS (Sudut Lebar)
64MP f/2.57, OIS, 3x Zum Optikal (Telefoto Periskop)
50MP f/2.0 (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Hadapan
12MP, jenis bawah skrin (UDC)
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.4
Kamera Hadapan
16 MP, f/2.5
IP68IP68IP64
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio Stereo, Snapdragon SoundAudio Stereo, Dolby AtmosAudio Stereo
6000 mAh (Berwayar 80W)5400 mAh (Berwayar 100W)5000 mAh (Berwayar 120W)

RM3,599 (16/512 GB)

RM4,599 (16/512 GB)

RM3,399 (16/512 GB)

APA ADA DALAM KOTAK?

nubia juga antara pengeluar peranti mercu yang masih memberikan set lengkap dengan setiap pembelian. Berikut adalah apa yang ada dalam kotak;

  • 1x nubia Z60 Ultra.
  • 1x Kerangka pelindung plastik lutsinar.
  • 1x Kabel USB-C ke USB-C.
  • 1x Pengecas GaN USB-C 80W.
  • 1x Buku panduan dan keselamatan.

KESIMPULAN

nubia Z60 Ultra adalah cubaan ZTE yang baik dalam menawarkan peranti mercu Snapdragon 8 Gen 3 yang mampu milik. Cuma dengan kamera tidak konsisten, skrin tidak menyokong piawaian paparan yang peranti mercu lain tawarkan dan kemas kini tiga tahun yang tidak jelas membuatkan saya sukar mencadangkan peranti ini kepada orang ramai. Untuk variasi 16GB + 512GB dijual pada harga RM3599 ia sangat kompetitif tetapi saya akan cadangkan kepada orang ramai langkau dahulu peranti ini dan nantikan model seterusnya dengan harapan ia adalah lebih baik.

PRO

  • Rekaan yang menarik dan berani.
  • Skrin nirbingkai yang cantik.
  • Prestasi pantas yang menakjubkan.
  • Bateri yang tahan sangat lama.
  • Menggunakan kamera bawah skrin.
  • Ada perlindungan IP68.
  • Kamera utama yang semakin baik.

KONTRA

  • Skrin tiada sokongan HDR10+ atau Dolby Vision.
  • Peranti akan memanas selepas lebih 1 jam bermain permua.
  • Tiada pengecasan nirwayar.
  • Kamera bawah skrin 12MP dengan kualiti 3GP.
  • Mod potret pada kamera utama mempunyai kualiti tidak konsisten.
Komen