Carian
NVIDIA Akan Disiasat Di Perancis Kerana Amalan Monopoli
July 2, 2024 Effi Saharudin

NVIDIA dilaporkan akan disiasat di Perancis kerana amalan perniagaan yang dikatakan memonopoli pasaran GPU untuk kecerdasan buatan (AI). Pada ketika ini NVIDIA mempunyai pegangan sekitar 90% pasaran GPU yang digunakan untuk memacu pemprosesan latihan model bahasa raya (LLM) yang diperlukan untuk menghasilkan AI.

Sasaran siasatan ialah penggunaan perisian CUDA yang satu-satunya serasi digunakan dengan GPU keluaran NVIDIA. Tanpa sokongan perisian lain, NVIDIA mempunyai pegangan pasaran yang semakin kukuh. Ini menjadi pemangkin kepada Intel, Google, Arm, Qualcomm, Samsung dan beberapa syarikat teknologi lain telah menubuhkan The Unified Acceleration Foundation (UXL) yang merupakan platform perisian terbuka.

Menerusi UXL, pembangunan AI tidak lagi akan terikat kepada penggunaan seperti bahasa pengaturcaraan tertentu, asas kod dan alatan lain yang mengikat mereka kepada seni bina khusus, kepada platform CUDA.

NVIDIA turut berhadapan siasatan yang sama di Amerika Syarikat oleh Jabatan Keadilan (DOJ) dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC). Cuma di Amerika Syarikat, mereka akan disiasat bersama Microsoft dan OpenAI kerana ketiga-tiga syarikat dilihat cuba memonopoli industri AI.

Komen