Carian
OnePlus 13 Mungkin Menyokong Perlindungan Air Dan Debu IP69
July 3, 2024 Fahim Zahar

OnePlus telah mula menyertakan sokongan perlindungan air dan debu pada peranti mercu mereka untuk beberapa tahun. Ciri ini adalah antara yang paling dihargai kerana memudahkan pengguna menggunakan peranti tidak kira apa jua situasi. Terbaru, OnePlus 13 dikhabarkan akan menyokong perlindungan yang lebih dahsyat.

Perlindungan yang akan digunakan berkemungkinan adalah IP69 antara paling tinggi dalam piawaian Ingress Protection. IP 6 9, 6 adalah untuk perlindungan habuk yang boleh bertahan sehingga 8 jam dengan tiupan angin. Kemudian 9 adalah untuk perlindungan air dengan sokongan semburan jet tekanan tinggi. Jika benar ini yang disokong, ia adalah antara paling baik pernah OnePlus tawarkan selepas bertahun tidak konsisten dari IP68 ke IP64 kemudian IP65.

Perkara lain yang bakal disokong pada OnePlus 13 adalah sensor imbasan cap jari bawah skrin akan menggunakan jenis ultrasonik seakan peranti Samsung. Untuk kamera, OnePlus 13 akan menggunakan konfigurasi 50MP Sony LYT808 sudut lebar + 2x 50MP Sony LYT600 untuk sudut ultra lebar dan telefoto 3x zum optikal. Peranti turut akan menyokong pengecasan SuperVOOC 100W dan skrin melengkung yang seakan rata.

Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut peranti Snapdragon 8 Gen 4 oleh OnePlus ini nanti. Sementara menantikan kehadiran peranti ini, kami di Amanz telah mengulas OnePlus 12 dan berpendapat mereka sudah hampir Setel.

Komen