Carian
Redmi 13 5G Dilancarkan Dengan Skrin 120Hz Dan Cip Snapdragon 4 Gen 2
July 9, 2024 Amy Maizuraa

Redmi 13 5G dilancarkan di India sebentar tadi dengan spesifikasi kelas asas-pertengahan baharu. Ia dilihat serupa dengan model 4G sebelum ini dengan perbezaan pada cip pemproses dan kadar segar semula lebih tinggi. Melaluinya cip Snapdragon 4 Gen 2 digunakan sebagai tunjang utama peranti.

Ia digandingkan dengan skrin LCD 6.79″ yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Ia peningkatan lebih menarik berbanding skrin 90Hz pada model 4G. Pilihan memori pula terdiri dengan 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Penawaran ini bagaimanapun bergantung pada pasaran masing-masing. Tetapan kamera terdiri daripada 108MP utama yang dipadankan sensor makro 2MP. Kamera swafoto pula sebesar 8MP dan diletakkan dalam lubang kecil di skrin hadapan.

Lain-lain spesifikasi termasuk bateri 5,030mAh, pengimbas cap jari sisi, bicu audio 3.5mm dan kalis air IP53. Peranti dijual bermula INR13,999 (~RM788) (6/128GB) dan INR15,499 (~RM873) (8/128GB) dalam warna hitam, biru serta perak. Tiada butiran untuk penawarannya di Malaysia namun anda masih boleh mendapatkan versi 4G yang dijual pada RM699.

Komen