Tinjauan Mendapati Lebih 80% Pengguna PC Enggan Membayar Lebih Untuk Kelengkapan AI
Effi Saharudin
Kita tidak lagi boleh lari daripada era kecerdasan buatan (AI) tahun ini. Telefon, tablet dan kini komputer kesemuanya dipasarkan dengan kemampuan AI baharu menerusi Copilot+ PC dan Apple Intelligence. Yang disedari juga ialah komputer riba baharu dengan cip AI dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding yang tidak hadir dengan ciri yang sama. Dalam tinjauan yang dilakukan oleh TechPowerUp, lebih 80% responden mengatakan mereka tidak ingin membayar lebih untuk perkakasan dengan kemampuan AI.

Antara jawapan yang diberikan ialah ciri AI seperti Copilot+ PC masih tidak dianggap perlu oleh pengguna. Maka mengapa mereka perlu membayar lebih untuk ciri yang tidak digunakan. Ada juga yang mengatakan AI masih belum mencapai kemampuan yang membuatkannya perlu digunakan. Mereka akan menanti ia menjadi lebih baik sebelum membeli perkakasan yang menyokongnya.
Gelombang pertama PC dengan kemampuan AI berhadapan dengan isu mengenai privasi. Ini menyebabkan ciri Recall yang diiklankan untuk Copilot+ PC tidak diberikan kerana ia mungkin boleh menyebabkan ketirisan data.
Lebih merisaukan bagi pembeli ialah sama ada perkakasan mereka akan luput terlalu pantas. Sudah dapat dilihat AI PC yang dilancarkan awal tahun ini tidak boleh menggunakan ciri Copilot+ PC kerana NPU yang tidak cukup berkuasa.