Qualcomm telah memperkenalkan cip Snapdragon 8s Gen 3 sebagai alternatif lebih mampu milik berbanding Snapdragon 8 Gen 3. Cip ini telah digunakan pada banyak peranti menarik seperti Poco F6 atau realme GT6. Terbaru, Qualcomm mungkin akan tiba dengan cip Snapdragon 7s Gen 3 pula yang dikatakan adalah cip alternatif kepada Snapdragon 7 Gen 3 untuk peranti kelas pertengahan premium.

Spesifikasi cip ini telah tertiris dengan GPU yang sangat mengelirukan. Cip peranti mercu seperti Snapdragon 8 Gen 3 menggunakan GPU Adreno 750 atau siri Adreno 7xx. Snapdragon 7s Gen 3 ini dikatakan akan menggunakan GPU Adreno 810. Adakah ini GPU lebih berkuasa tetapi CPU tidak atau satu penjenamaan semula untuk Adreno masih tidak jelas.
Konfigurasi cip ini adalah 1x 2.5Ghz + 3x 2.4Ghz + 4x 1.8Ghz dan dikatakan akan digunakan pada peranti realme, Redmi, Motorola dan vivo. Harga jualan peranti dengan cip baharu ini dijangka adalah sekitar RM2500 ke bawah.