Carian
Google Search Perkenal Ciri Memudahkan Gambar Lucah Palsu Dibuang
August 1, 2024 Effi Saharudin

Pengenalan pelbagai perisian AI menimbulkan masalah baharu dimana imej lucah dijana tanpa kebenaran. Di Malaysia sudah muncul laporan imej lucah artis popular dijana menggunakan teknologi deepfake dan kemudiannya dikongsi menerusi aplikasi pemesejan. Jika carian Google Search dilakukan, imej-imej ini boleh ditemukan dengan cukup mudah. Hari ini Google memperkenalkan ciri untuk memudahkan imej-imej ini dibuang apabila muncul di Search.

Ia adalah kesinambungan kepada ciri membuang imej lucah peribadi yang dikongsi tanpa kebenaran yang diperkenalkan sebelum ini. Selepas imej disahkan dan dibuang, Search akan memastikan imej yang sama tidak lagi akan muncul apabila kata kunci yang sama digunakan.

Pada waktu yang sama laman yang memaparkan imej yang telah dibuang akan tidak akan lagi diberikan kelebihan dalam keputusan carian. Jika laman yang sama berkali-kali didapati terlibat dalam memaparkan imej seperti ini, ranking mereka dalam carian Google akan dikurangkan bagi menjadikan ia semakin sukar dicari.

Apabila carian menggunakan kata kunci nama tertentu pula, Search akan mendahulukan keputusan dalam bentuk berita dan kandungan yang tidak lucah terlebih dahulu. Menerusi perubahan yang dilakukan ini, keputusan carian yang mengandungi imej lucah telah berjaya dikurangkan sebanyak 70%. Jika anda menjadi mangsa imej lucah palsu, anda boleh melakukan laporan kepada Google menerusi pautan di bawah.

Komen