Tempoh Jaminan Cip Intel Core Gen-13 dan Gen-14 Dilanjutkan Sehingga Lima Tahun
Effi Saharudin
Intel mengesakan beberapa minggu lalu cip Intel Core generasi ke-13 dan ke-14 mereka mempunyai isu voltan tinggi disebabkan oleh perisian. Sekiranya insiden ini berlaku, cip akan mengalami kerosakan kekal yang hanya boleh diselesaikan dengan melakukan gantian RMA. Hari ini Intel mengatakan tempoh jaminan untuk cip desktop ini akan dilanjutkan selama dua tahun lagi kepada pelanggan menurut laporan Tom’s Hardware.

Secara lalai Intel memberikan jaminan selama tiga tahun untuk cip yang dikeluarkan mereka. Dengan pengumuman ini cip akan diberikan jaminan selama lima tahun. Kepada pelanggan yang belum mengalami isu voltan tinggi, lanjutan ini sedikit sebanyak akan memberikan kelegaan untuk tempoh lebih lama. Berkenaan isu ini, Intel menjanjikan kemas kini perisian bakal diberikan bulan ini tetapi tarikh belum diumumkan lagi.