Galaxy AI Mungkin Akan Ke Samsung Galaxy A55 dan A35
Fahim Zahar
Ciri Galaxy AI pada waktu ini hanya diberikan kepada peranti mercu siri Samsung Galaxy S, Galaxy Z Flip, Galaxy Z Fold dan tablet Galaxy Tab S9. Sebab yang diberikan oleh Samsung ialah kemampuan AI memerlukan pemproses yang berkuasa untuk menjalankannya terus pada peranti. Tetapi menurut Sammobile, kelak Galaxy A55 dan Galaxy A35 akan menjadi peranti kelas pertengahan pertama yang akan menerima ciri ini.

Ia akan diberikan menerusi kemas kini One UI 6.1.1 kelak. Tidak diketahui apakah ciri Galaxy AI yang akan diberikan kerana siri Galaxy A sekadar dilengkapi pemproses kelas pertengahan. Besar kemungkinan ciri seperti Circle To Search, Writing Assist dan suntingan gambar menggunakan AI boleh diberikan kerana pemproses dilakukan di awanan.
Pada Januari lalu, Samsung mengesahkan kepada kami bahawa Galaxy AI akan diberikan bukan sahaja pada peranti Galaxy A terpilih tetapi juga pada peranti elektronik lain mereka seperti TV dan peralatan dapur. Cuma pada waktu tersebut mereka mengatakan ia dalam perancangan tanpa sebarang tarikh muktamad bila ia akan diberikan.