Carian
Elon Musk Menyaman Semula OpenAI dan Sam Altman
August 6, 2024 Effi Saharudin

Elon Musk memfailkan saman ke atas OpenAI pada Mei lalu kerana didakwa melanggarkan persetujuan asal penubuhan syarikat yang tidak akan mengaut keuntungan menerusi perisian yang dihasilkan. Saman kemudian ditarik semula kerana kebarangkalian kemenangan adalah rendah. Semalam Elon Musk memfailkan semula sama ke atas OpenAI khususnya Sam Altman dan Greg Brockman di sebuah mahkamah di California.

Sam Altman

Dalam writ saman terkini, tindakan guaman diambil kerana OpenAI melanggar tujuan asal syarikat yang membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk kebaikan manusia sarwajagat. Musk mendakwa telah tertipu dengan janji Altman membangunkan AI sumber terbuka tanpa mengaut keuntungan.

Bayaran sehingga tiga kali ganda keuntungan dan wang yang dilaburkan oleh Musk diminta sebagai pampasan. Perjanjian eksklusif antara OpenAI dan Microsoft juga ingin dibatalkan oleh Musk kerana sekali lagi didakwa melanggar motif sebenar syarikat ditubuhkan.

Musk adalah antara sebelas pengasas asal OpenAI pada tahun 2015 sebelum meninggalkan syarikat pada tahun 2018 kerana tidak bersetuju dengan hala tuju syarikat dan beliau ingin dilantik menjadi CEO. OpenAI mengeluarkan kenyataan balas mengatakan saman yang difailkan adalah tidak berasas. Bukti Musk sendiri ingin OpenAI menjana pendapatan sebelum keluar daripada syarikat dilampirkan sekali.

Komen