Apple Sedang Membangunkan Skrin Pintar Dengan Tangan Robotik
Effi Saharudin
Google mempunyai produk Nest yang merupakan skrin pintar yang menjadi hab kawalan rumah pintar sejak 2018. Apple masih tidak mempunyai produk yang serupa di pasaran. Menurut laporan Bloomberg pagi ini, Apple sedang meneruskan projek membangunkan skrin pintar tetap dengan sokongan tangan robotik.

Ini adalah kesinambungan kepada ura-ura Apple membangunkan HomePod dengan skrin yang mula didengari sejak dua tahun lalu. Menurut Bloomberg, skrin pintar baharu ini mengekalkan skrin dengan saiz seakan iPad tetapi diletakkan pada hujung tangan robotik yang dipasang pada tapak di atas meja. Tangan ini akan berputar secara automatik mengikut arah pengguna.
Oleh itu jika skrin pintar digunakan ketika sesi FaceTime, ia boleh mengikut pengguna yang mungkin sedang berjalan dalam sebuah bilik. Selain berputar ia juga boleh naik turun atau bawah serta berpusing untuk menukar orientasi skrin. Ia boleh menerima arahan suara Siri serta mempunyai kemampuan kecerdasan buatan (AI) terbina. Produk masih dalam pembangunan dan dijangka ditawarkan seawal 2026 atau selewat-lewatnya 2027.