Maersk Memulakan Kajian Membangunkan Kapal Kargo Berkuasa Nuklear
Effi Saharudin
Industri perkapalan menyumbang kepada 3% pelepasan karbon dioksida ke atmosfera bumi setiap tahun. Maka sudah terdapat beberapa usaha untuk menghijaukan industri ini dengan pembangunan sistem tujahan elektrik, kuasa layang-layang dan mengembalikan semula kuasa layar yang lebih moden. Lloyd’s Register, CORE POWER dan Maersk ingin menyelesaikan isu pencemaran ini dengan membangunkan kapal kargo berkuasa nuklear.

Kajian melihat penggunaan kapal kargo berkuasa nuklear dari sudut keselamatan dan penggunaannya akan dijalankan oleh ketiga-tiga syarikat dan mencapai sasaran pelepasan sifar karbon. CORE POWER akan menggunakan kepakaran mereka bagi membangunkan reaktor nuklear generasi keempat yang lebih selamat untuk digunakan. Maersk pula akan berkongsi pengalaman luas mereka dalam industri perkapalan dan logistik.
Kapal kargo berkuasa nuklear pada ketika ini hanya digunakan oleh Rusia untuk membekalkan bekalan ke kawasan utara yang sering beku. Sebelum itu pada dekad 60an, NS Savannah digunakan oleh Amerika Syarikat untuk melihat sama ada ia serasi digunakan. Perkhidmatan Savannah dihentikan pada tahun 1971 kerana kos operasi yang tinggi, dan juga faktor keselamatan. Tahun lalu pula firma Jiangnan Shipyard dari China memperlihatkan konsep kapal kargo kuasa nuklear reaktor garam cair (MSR) thorium.