Carian
Samsung Memperlihatkan Skrin Dengan Permukaan Boleh Timbul Keluar Tiga Dimensi
August 26, 2024 Effi Saharudin

Tiga tahun lalu Samsung Display memperlihatkan panel OLED boleh-regang dengan permukaan yang timbul keluar pada paksi Z. Pada ketika itu ia sekadar konsep menunjukkan bagaimana skrin 2D boleh berubah memberikan tekstur 3D yang boleh dikesan oleh hujung jari. Di acara IMID 2024 yang berlangsung minggu lalu, Samsung Display memperlihatkan prototaip terbaru panel boleh-regang ini.

Prototaip terkini tidak lagi menggunakan panel OLED sebaliknya digantikan dengan teknologi Micro LED. Skrin boleh diregang sehingga 1.25X berbanding panjang asal. Dalam video demo di atas, topografi bukit timbul keluar dan boleh disentuh.

Tidak diketahui apakah kegunaan panel ini di dunia sebenar pada ketika ini. Tetapi beberapa tahun yang lalu wujud prototaip papan kekunci fizikal yang timbul bagi memudahkan proses menaip. Ia juga diharap boleh digunakan oleh warga OKU penglihatan untuk membaca huruf Braille terus pada skrin.

Komen