Nothing sebelum menjual telefon pintar, memfokuskan kepada produk audio. Atas populariti ear (1), ear (stick) dan ear (2), Nothing Audio ditubuhkan dan dua TWS baharu dilancarkan. Nothing ear dan ear (a) turut berjaya menarik perhatian ramai kerana menawarkan kualiti mercu pada harga mampu. Terbaru, satu lagi TWS dikatakan akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Di IMDA Singapura (seakan SIRIM), Nothing ear Open telah disenaraikan. Berdasarkan nama “Open”, ia mencadangkan yang tiada sokongan ANC akan diberikan kerana akan memfokuskan kepada mod ambien atau mod tembus bunyi. Ia besar kemungkinan adalah pengganti kepada ear (stick). Walaupun jenis dalam telinga adalah pengalaman audio terbaik, jenis terbuka atau separa terbuka mempunyai peminat tersendiri kerana ada pengguna yang tidak selesa objek asing disumbatkan ke dalam telinga.
Mengenali Nothing, ear Open mungkin akan turut dilancarkan bersama-sama dengan integrasi AI seperti ChatGPT. Bulan hadapan di Malaysia, Nothing Phone (2a) Plus akan dilancarkan. Wakil Nothing ada berkongsi yang selepas telefon ketiga ini tiba ada sesuatu kejutan di hujung tahun. Mungkin ear Open akan tiba pada waktu itu? Sama-sama kita nantikan.