Carian
Samsung Galaxy Quantum5 Dilancarkan Dengan Sistem Penyulitan Kuantum
September 2, 2024 Effi Saharudin

Samsung Galaxy Quantum5 telah dilancarkan di Korea Selatan semalam dengan ia sebuah lagi telefon pintar dengan sistem penyulitan kuantum. Mereka telah menghasilkan peranti kuantum sejak 2020 dengan kerjasama SK Telecom. Model terbaru ini sebenarnya adalah sebuah Samsung Galaxy A55 yang dilengkapi cip kuantum S2Q000.

S2Q000 menjana kunci penyulitan secara rawak menerusi teknologi kuantum. Secara teorinya ini ialah sistem yang paling sulit kerana ia dijana secara rawak berbanding algoritma kunci penyulitan yang lain. Cip direka oleh ID Quantique dan kemudian dipadankan pula dengan sistem sekuriti Samsung Knox.

Spesifikasi Galaxy Quantum5 ialah ia dilengkapi skrin 6.6″ SAMOLED 120Hz, dijana cip Exynos 1480, memori 8GB RAM, storan 128GB, dan bateri 5000 mAh dengan sokongan pengecasan 25W. Kamera utama pula terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, ultra lebar 12MP dan makro 5MP sementara di hadapan pula ia dilengkapi kamera swafoto 32MP.

Di Korea Selatan Samsung Galaxy Quantum5 dijual pada harga Won 618,200 (~RM 1998) dalam warna Awesome Ice Blue, Awesome Lilac, dan Awesome Navy hanya untuk pelanggan SK Telecom.

Komen