Siri Samsung Galaxy S25 Akan Menggunakan Cip Snapdragon Sepenuhnya
Effi Saharudin
Tahun ini wujud kekecewaan pada segelintir peminta peranti Samsung apabila cip Snapdragon 8 Gen 3 hanya digunakan pada model Galaxy S24 Ultra. Galaxy S24 da Galaxy S24+ pula dilengkapi cip Exynos 2400 yang dilihat sebagai pemproses yang kurang berkuasa. Hari ini wujud laporan daripada Korea yang mengatakan siri Galaxy S25 tahun depan akan menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 4 sepenuhnya.

Keputusan dikatakan diambil kerana Samsung masih belum mampu menghasilkan cip Exynos 2500 dalam jumlah serta kualiti wafer yang memuaskan. Walaupun Samsung lebih awal melancarkan teknologi 3nm mereka berbanding TSMC, teknologi 3nm TSMC menjadi pilihan pengeluar cip kerana peratusan kegagalan wafer yang lebih rendah.
Sungguhpun begitu cip Eyxnos 2500 tetap akan dihasilkan oleh Samsung dengan ia akan digunakan pula pada siri Galaxy Z Fold7 dan Galaxy Z Flip7 menurut laporan yang sama. Maka tahun 2025 tanpa Exynos pada peranti mercu Samsung tidak akan berlaku.
Cip Snapdragon 8 Gen 4 amat dinantikan kerana ia pertama kali siri Snapdragon 8 dilengkapi CPU Oryon yang hanya digunakan pada cip Snapdragon X Elite dan X Plus sahaja setakat ini. Ia mampu menawarkan peningkatan prestasi CPU yang mendadak berbanding Cortex-X4 yang digunakan pada Snapdragon 8 Gen 3.
[sumber] Hankyung [/sumber]