Gojek akan menamatkan operasi seru pandu dan penghantaran bungkusan mereka di Vietnam bermula 16 September selepas hanya enam tahun dilancarkan di pasaran tersebut. Langkah penutupan operasi diambil kerana pasaran Vietnam hanya menyumbang 1% kepada transaksi syarikat pada suku kedua yang lalu.

Syarikat tidak mampu menentang pesaing mereka Grab di Vietnam. Ini kali kedua Gojek menarik diri daripada pasaran Indochina selepas turut menutup operasi mereka di Thailand tiga tahun yang lalu. Pernah kedengaran ura-ura Gojek ingin memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2019 tetapi impian berkubur selepas Kementerian Pengangkutan enggan membenarkan operasi motor sebagai teksi di Malaysia. Ia hadir selepas Dego Ride yang menjadi pelopor perkhidmatan ini di Malaysia telah diharamkan oleh JPJ pada tahun 2017.
Pasaran perkhidmatan seru pandu di Asia Tenggara semakin mengecil dengan ia hanya didominasi oleh syarikat-syarikat besar. Pada Februari lalu muncul laporan GoTo yang merupakan syarikat induk Gojek telah melakukan perbincangan untuk bergabung dengan Grab. Konsolidasi pasaran seperti ini mengurangkan pilihan kepada pengguna dan hanya menggalakkan monopoli.