Carian
Ulasan Honor Magic V3 – Rekaan Nipis Menghiris Pesaing
September 5, 2024 Amy Maizuraa

Honor Magic V2 sebelum ini telah mencipta fenomena baharu dengan ketebalan telefon skrin boleh lipat yang kurang daripada 10mm. Tetapi masih perlu berkompromi dengan beberapa ciri utama seperti tiada kalis air, tiada pengecasan nirwayar dan tiada lensa telefoto. Kekurangan ini bagaimanapun telah ditebus melalui versi baharu Honor Magic V3 untuk penawaran lebih baik. Mengapa kami berkata sebegini? Teruskan membaca artikel ulasan di bawah.


Honor Magic V3
SkrinLuar – 6.43″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.92″ OLED 120Hz
Sokong stylus
PemprosesSnapdragon 8 Gen 3 (4 nm)
Cip1×3.3 GHz Cortex-X4
3×3.2 GHz Cortex-A720
2×3.0 GHz Cortex-A720
2×2.3 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 750
RAM12GB RAM
RAM Turbo (12GB RAM)
Muatan Dalaman512GB
Kamera Utama50 MP, f/1.9, OIS (utama)
40 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
50 MP, f/2.4, OIS (Periskop),
3.5X optikal zum
100X digital zum
4K 60P
Kamera Depan20 Megapixel f/2.45 (Depan)
4K 60p
Bateri5100 mAh
Berwayar 66W
Nirwayar 55W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIPX8
Sistem ImbasanCap jari terbina sisi
Harga JualanRM6999 (12/512GB)

Spesifikasi Ringkas

Honor Magic V3 merupakan sebuah telefon mercu premium yang dilengkapi sokongan 5G. Pengalaman memegang Magic V3 sejujurnya terasa puas disebabkan struktur tubuh yang berkualiti tinggi. Benda pertama yang kami terfikir sewaktu awal-awal dapat memegangnya ialah bagaimana Honor mampu menghasilkan sebuah telefon sebegini? Sekiranya Honor Magic V2 sudah menjadi telefon skrin boleh lipat yang nipis sama ada sewaktu dilipat atau dibuka.

Baiklah versi kali ini boleh dikatakan lebih nipis dengan ketebalan hanya 4.35mm sewaktu dibentang dan 9.2mm pula dilipat. Dengan berat 226-gram pula, ia juga 5-gram lebih ringan berbanding Magic V2 yang seberat 231-gram sebelum ini. Bingkai alumimium digunakan terasa teguh di tangan kemudian engsel turut telah direka semula menggunakan keluli ringan Honor Super Hinge dengan ketahanan maksimum 500,000 kali lipatan.

Binaan yang nipis walaupun dalam keadaan dilipat juga menjadikan ia mudah untuk digunakan dengan sebelah tangan. Memasukkan Magic V3 ke dalam poket juga boleh dikatakan hampir tidak rasa apa-apa disebabkan struktur tubuh yang ringan.

Namun perlu diakui walaupun nampak cukup selesa rupanya masih terdapat sedikit kekurangan dari segi cara membuka skrin utama telefon ini. Tubuhnya yang nipis sering mengakibatkan kami sukar untuk membentangkan skrin utama telefon dengan mudah. Ditambah pula dengan bingkai sisi melengkung menambahkan lagi kesukaran itu sehinggakan ada masanya telefon ini hampir terlepas daripada tangan. Keadaan ini berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh telefon skrin boleh lipat Samsung di mana tubuhnya adalah berkotak dan memudahkan peletakan jari untuk membuka skrin utama dengan lebih efisien.

Terdapat juga piawaian kalis air IPX8 yang secara asasnya telefon mampu bertahan selama 30minit untuk rendaman sehingga 1.5m. Walau bagaimanapun, Magic V3 tidak mempunyai kemampuan kalis debu secara rasmi terutamanya pada bahagian engsel bermakna menggunakan ia dalam keadaan berdebu amatlah tidak disarankan.

Tidak banyak perubahan untuk aspek skrin peranti yang masih cukup baik untuk sebuah telefon skrin boleh lipat. Ia menggunakan skrin utama sebesar 7.92-inci dengan resolusi 2344 X 2156 piksel manakala skrin sekunder pula sebesar 6.43” yang beresolusi 2376 X 1060 piksel. Lebih baiknya lagi apabila skrin LTPO OLED yang digunakan pada kedua-dua belah skrin mampu menawarkan penghasilan semula warna yang terang, jelas dan bermaya.

Selain itu kadar segar semula 120Hz disertakan berfungsi cukup baik yang mampu menawarkan tatalan cukup lancar. Namun sudah semestinya pengguna haruslah berkompromi dengan ketahanan bateri. Kandungan Netflix turut boleh ditonton dalam resolusi HD penuh kerana skrin melepasi pensijian Widevine L1 DRM. Sebagai tambahan lain Honor juga menawarkan mod keselesaan mata dan e-book mode melalui perisian terbina.

Butang kuasa yang juga merangkap pengimbas cap jari diletakkan pada bahagian kanan peranti. Pengimbas cap jari ini mampu berfungsi dengan pantas dan lancar tanpa kegagalan menyahkunci telefon yang kerap. Seterusnya sisi bertentangan pula terdapatnya ruang butang laras audio yang diikuti dengan ruang slot SIM tanpa kebolehan kad mikroSD dan pembesar suara di bahagian bawah peranti. Pembesar suara adalah sejenis stereo dengan satu lagi kekisi audio di bahagian atas.

Ia juga mengakibatkan audio stereo yang seimbang tidak dapat dikecapi. Satu lagi perkara yang masih dikorbankan Honor pada versi kali ini ialah bicu audio 3.5mm. Ini bermakna kesemua output aksesori audio kini perlu dilakukan menerusi port USB-C pada bahagian bawah telefon. Penyesuai USB-C ke bicu audio tidak disertakan.  Langkah paling mudah yang boleh anda ambil ialah penggunaan aksesori audio nirwayar yang sememangnya sudah menjadi trend industri teknologi kini.  


Pengalaman Penggunaan

Kami teruskan pula ke bahagian lebih teknikal iaitu Magic V3 menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3 dengan binaan 4nm. Ia boleh bersaing rapat dengan Samsung Galaxy Z Fold 6 dan Xiaomi 14 Ultra yang juga dijana cip yang sama untuk menjadi otak kepada peranti. Pilihan memori ialah 12GB RAM dan storan dalaman 512GB di samping menyokong RAM maya 12GB RAM melalui fungsi RAM Turbo. Penawaran memori ini mungkin lebih kecil berbanding 16GB RAM yang pernah ditawarkan pada Magic V2 namun masih memadai untuk kebanyakan pengguna hari ini.

Melalui cip Snapdragon 8 Gen 3, telefon ini boleh menjalankan sebahagian besar aktiviti harian dengan lancar. Tidak kira sama ada digunakan untuk bertukar-tukar ganti aplikasi, membuka laman web dengan tab yang banyak atau menjalankan aplikasi berat seperti permua moden. Magic V3 dilihat mampu untuk berfungsi dengan lancar tanpa isu lengah masa yang melampau. Keadaan ini rasanya dibantu juga oleh kombinasi memori 12GB RAM dan storan dalaman 512GB bagi memastikan telefon ini kekal responsif. Berikut disertakan kutipan markah peranti dalam beberapa ujian penanda aras utama :

Antutu 3D

  • Honor Magic V3 – 1,439,936
  • Samsung Galaxy Z Fold6 – 1,610,669
  • Oppo Find N3 – 1,405,149
  • Xiaomi 14 Ultra – 2,000,434

Geekbench 6

  • Honor Magic V3 – 1168/3590
  • Samsung Galaxy Z Fold6 – 1902/6943
  • Oppo Find N3 – 1537/4561
  • Xiaomi 14 Ultra – 2221/6632

3D Mark Wildlife Extreme

  • Honor Magic V3 – 4023
  • Samsung Galaxy Z Fold6 – 4752
  • Oppo Find N3 – 3654
  • Xiaomi 14 Ultra – 4717

Perisian terkini MagicOS 8.0.1 yang dibina berasaskan Android 14 turut memberi pengalaman antaramuka yang responsif. Sama ada digunakan untuk menatal menu utama atau membuka aplikasi, telefon ini mampu memberi tindak balas serta-merta. Dengan skrin 120Hz yang diaktifkan sepanjang masa turut dapat meningkatkan kelancaran tadi. Persamaan paling ketara adalah dari segi antaramuka yang masih berkonsep seperti perisian EMUI yang digunakan pada telefon Huawei.

Pada tahun ini Honor juga dilihat mengikut jejak Samsung dan Google yang menyertakan model AI terbina di dalam telefon pintar. Antara ciri yang kami gunakan hampir setiap hari ialah AI Magic Portal – Search To do More yang membuatkan carian objek menjadi lebih mudah dengan bantuan AI. Kemudian ia juga boleh dikongsi secara terus ke mana-mana aplikasi yang menyokong untuk kegunaan lain. Misalnya seperti aplikasi Notes yang juga boleh menghasilkan transkripsi secara automatik sekiranya perlu.

AI Magic Portal – Search To Do More
AI Face to Face Translation
AI Magic Text
AI Magic Ring
AI Eraser

Kami juga mencuba ciri AI Face to Face Translation yang boleh menterjemah dua bahasa berbeza secara masa nyata. Menarik sekali apabila ia menyokong Bahasa Melayu yang dianggap satu kelebihan buat pengguna di pasaran ini. Selain itu mana-mana benda asing yang mengganggu gambar pula boleh sahaja dipadam dengan mudah menggunakan ciri AI Eraser. Ciri AI lain yang ada pada Magic V3 adalah AI Honor Notes yang boleh melakukan transkripsi secara automatik dan Magic Ring bagi tujuan perkongsian skrin ke peranti lain seperti komputer riba atau tablet misalnya.

Model AI terbina tersebut juga memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan prestasi sistem untuk memastikan telefon kekal responsif walaupun selepas penggunaan yang lama. Magic V3 bukanlah sekadar baik untuk prestasi harian malahan boleh digunakan dengan seronok sewaktu bermain permua. Kebolehan cip Snadragon 8 Gen 3 mengekalkan prestasi permainan tanpa lengah masa turut boleh dipuji. Sebagai contoh permainan Honor of Kings boleh dimainkan dengan baik pada tetapan yang tinggi dengan kadar bingkai yang konsisten dalam sebahagian besar sesi permainan.

Skrin telefon juga menyediakan paparan grafik yang berkualiti tinggi menerusi panel OLED yang digunakan pada kedua-dua belah paparan peranti. Cumanya telefon didapati menjadi semakin memanas terutama di bahagian bonggol kamera untuk sesi permainan yang panjang. Terdapatnya perisian Game Mode terbina juga dianggap sesuatu yang menarik dengan ia boleh menapis sebarang gangguan yang tidak diperlukan sepanjang sesi permainan.

Namun masih ada kekurangan yang memerlukan pengguna untuk membuat pembayaran sekiranya mahu mengaktifkan ciri Game Booster yang sepatutnya meningkatkan lagi pengalaman bermain ke tahap lebih memuaskan. Jumlah pembayaran yang disenaraikan adalah bermula RM8.69 sebulan dan boleh dibayar secara atas talian melalui Honor in-app Payment.


Kualiti Kamera

Kamera utama menggunakan konfigurasi lensa utama 50MP, ultra lebar/makro 40MP dan periskop 50MP dengan OIS. Hanya lensa ultra lebar tidak dilengkapi OIS. Sementara itu lensa periskop menyokong zum optikal 3.5X dan 100X digital. Kamera utama juga boleh melakukan rakaman 4K yang menyokong mod skrin bernisbah 21:9. Keadaan bertambah menarik apabila Honor turut membawa profil gambar Harcourt yang sebelum ini digunakan pada siri nombor baharu mereka ke dalam Magic V3.

Selain itu terdapat juga tiga profil warna seperti Natural, Vibrant dan Authentic disertakan bagi tujuan memperhalusi warna sekaligus menghasilkan imej akhir yang lebih menarik. Kelebihan lain turut boleh ditemui apabila rakaman gambar dengan nisbah 16:9 turut boleh dilakukan. Sebahagian besar mod seperti Night, Aperature, Potrait, Photo, Video dan Pro boleh diakses dengan mudah melalui antaramuka kamera. Di hadapan pula kamera swafoto 20MP digunakan dengan kemampuan merakam video beresolusi 4K.

Antaramuka aplikasi kamera adalah serupa dengan telefon Honor sedia ada seterusnya menjadikannya mudah digunakan. Ia juga tidak kurang menariknya untuk kemampuan kamera. Sama ada digunakan sewaktu bertukar ganti fungsi utama, sistem autofocus atau menekan butang shutter, sistem kamera telefon ini mampu berfungsi dengan baik tanpa isu kegagalan yang dialami sepanjang tempoh ulasan.

Kualiti gambar keseluruhannya boleh diambil dengan baik sewaktu di dalam mahupun luar bangunan. Warna dalam kesemua gambar sedap dipandang mata dengan ia nampak hidup dan terang benderang. Ciri AI dan HDR terbina juga sedikit sebanyak membantu dalam meningkatkan kontras pada gambar lalu menghasilkan kesan warna yang lebih tepu. Keadaan ini bagaimanapun masih bergantung pada jenis profil warna dipilih.

Sebahagian besar gambar yang dilampirkan dalam artikel ulasan ini menggunakan profil warna Authentic dengan hasil gambar bersama kesan warna yang tepu. Khususnya dalam sesetengah keadaan yang melibatkan warna-warna terang seperti merah, kuning atau biru misalnya. Dengan memilih untuk memandang secara positif sebenarnya ia tidaklah mendatangkan sebarang masalah.

Malahan lebih memudahkan proses perkongsian gambar terus ke media sosial tanpa memerlukan suntingan tambahan semata-mata untuk tampil lebih menarik. Night Mode masih diberikan namun gambar yang diambil secara lalai menerusi kamera utama kelihatan lebih memuaskan. Kewujudan hingar juga hampir tidak kelihatan dalam kebanyakan gambar melainkan hasil ultra-lebar.

Profil gambar Harcout juga keseluruhannya berkualiti tinggi. Sistem autofokus mampu mengunci subjek dengan dengan cepat kemudian menghasilkan gambar potret yang memuaskan. Kamera mampu memisahkan subjek dan latar belakang dengan sebaiknya termasuklah untuk butiran rambut seorang lelaki seperti dalam gambar dilampirkan.

Cumanya saya perasan gambar yang diambil akan melalui pascaproses yang ketara sebelum imej terbaik dihasilkan. Sebagai seorang perempuan saya akui suka dengan ciri kecantikan terbina pada kamera swafoto telefon ini. Namun sayangnya pada hasilnya dilihat kurang konsisten dengan gambar yang pudar dan kurang menarik.


Ketahanan Bateri

Honor menggunakan bateri 5,150mAh lebih besar berbanding 5,000mAh pada Magic V2. Ia juga sejenis karbon silikon generasi kedua yang sepatutnya mampu menawarkan prestasi jauh lebih baik dalam pelbagai keadaan. Selain turut diintegrasi dengan cip kendiri Power Enhanced Chip Honor E1 untuk kesan yang positif terhadap penggunaan lebih stabil.

Dari segi prestasi telefon ini sebenarnya boleh menjanjikan penggunaan sepanjang hari. Kebolehan cip pemproses mengurus pengagihan kuasa dengan bijak boleh dipuji dalam memastikan tahap penurunan bateri adalah perlahan. Keadaan ini rasanya dibantu juga oleh penawaran beberapa ciri tambahan lain seperti Power Saving Mode dan Ultra Power Saving Mode yang membantu telefon bertahan lebih lama.

Namun sekiranya mahu dikongsikan dengan terperinci. Magic V3 boleh bertahan diantara 7 hingga 10 jam (melalui kiraan manual) dalam penggunaan berat. Kebanyakan situasi bateri akan berbaki di tahap 10% dan pengecasan semula dilihat mengambil masa kurang daripada satu jam. Kami tidak pula menguji kebolehan pengecasan nirwayar memandangkan tiada peralatan khusus bagi tujuan berkenaan.


Pesaing

Honor Magic V3Xiaomi MIX Fold 4Samsung Galaxy Z Fold6
Luar – 6.43″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.92″ OLED, 120Hz, HDR10+
Luar – 6.56″ LTPO AMOLED, 120Hz
Dalam – 7.98″ LTPO AMOLED, 120Hz
Dolby Vision
Luar – 6.3″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
HDR10+
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1 X 3.39 GHz Cortex X4
3 X 3.1 GHz Cortex A720
2 X 2.9 GHz Cortex A720
2 X 2.2 GHz Cortex 520
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1 X 3.39 GHz Cortex X4
3 X 3.1 GHz Cortex A720
2 X 2.9 GHz Cortex A720
2 X 2.2 GHz Cortex 520
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1 X 3.39 GHz Cortex X4
3 X 3.1 GHz Cortex A720
2 X 2.9 GHz Cortex A720
2 X 2.2 GHz Cortex 520
Adreno 750Adreno 750Adreno 750
12 GB LPDRR5X12/16 GB LPDRR5X12 GB LPDRR5X
512 GB UFS 4.0256/512/1000 GB UFS 4.0256/512/1000 GB UFS 4.0
Kamera Utama
54MP f/1.6, (Utama)
40MP f/2.2 (Ultra Lebar)
50MP f/3.0, OIS (Telefoto)
Kamera Utama
50MP f/1.7, OIS (Utama)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
50MP f/2.0, OIS (Telefoto)
10MP f/2.9, OIS (Telefoto)
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS (Utama)
12MP f/2.4 (Ultra Lebar)
10MP f/2.2, OIS (Telefoto)
Kamera Hadapan
20MP f/2.2
20MP f/2.2
Kamera Hadapan
16MP
16MP
Kamera Hadapan
10MP f/2.2
4MP f/1.8 (UDC)
IPX8IPX8IP48
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5150 mAh (Berwayar 66W)5100 mAh (Berwayar 67W)4400 mAh (Berwayar 25W)
RM 6999 (12/512GB)RM 5797* (12/256GB)
RM 6441* (16/512GB)
RM 7085* (16/1000GB)
*= Mata wang China
RM 7299 (12/256GB)
RM 7899 (12/512GB)
RM 9099 (12/1000GB)

Apa Dalam Kotak

  • 1 X Honor Magic V3.
  • 1 X Pengecas Honor SuperCharge.
  • 1 X Kabel USB-C.
  • 1 X Manual pengguna.
  • 1 X Kad jaminan.
  • 1 X Kerangka pelindung.

Kesimpulan

Honor Magic V3 boleh dikategorikan telefon yang baik dalam pelbagai aspek termasuklah prestasi harian, sistem kamera dan jangka hayat bateri. Ia bukan sekadar sebuah telefon dengan tumpuan terhadap prestasi harian yang efisien semata. Malahan berfungsi dengan baik juga sewaktu digunakan untuk sesi permainan.

Sebenarnya ada seperkara menarik yang kami terlepas untuk dikongsi iaitu Magic V3 menyokong stylus di kedua-dua belah skrin. Cuma sayangnya tiada ruang simpanan untuknya disediakan dan mungkin Honor boleh menyertakan dalam versi yang akan datang. Namun jika difikirkan secara rasional hal tersebut boleh menjadi ciri utama yang perlu dikompromi oleh Honor dalam menghasilkan sebuah telefon skrin boleh lipat yang nipis dan ringan.

Harga jualan di Malaysia ialah RM6,999, yang sebenarnya sama dengan Magic V2 tetapi lebih baik untuk aspek perkakasan dalaman. Sesi pratempah akan dibuka bermula 12 September 2024 dengan hadiah percuma menarik berupa Honor Magic Pen, Magic Watch 4, Magic Wireless Charging Stand 100W dan jaminan pelindungan skrin selamat satu tahun.

Pro

  • Skrin OLED 120Hz di luar dan dalam.
  • Cip Snapdragon 8 Gen 3 yang berkuasa.
  • Paling nipis dan ringan setakat ini.
  • Kalis air IPX8
  • Pembesar suara stereo.
  • Sokong stylus.

Kontra

  • RAM maya tidak boleh diubah.
  • Tiada ruang untuk stylus.
  • Pengecasan pantas sama.
Komen