Carian
Ulasan Honor Magic V2 – Rekaan Menjadi Kekuatan
February 13, 2024 Amy Maizuraa

Masih ingat dengan artikel ulasan Xiaomi MIX Fold 3 sebelum ini? Melaluinya saya ada mengatakan bahawa Honor Magic V2 merupakan antara peranti boleh lipat paling nipis pernah dipegang. Malahan dirasakan lebih nipis dan ringan berbanding Huawei Mate X3. Justeru agak menarik apabila turut diberi peluang untuk menggunakannya dalam tempoh lama dan pengalaman itu saya kongsikan melalui artikel ulasan ini.

Spesifikasi Peranti

Honor Magic V2
SkrinLuar – 6.43″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.92″ OLED 120Hz
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 (4nm)
Cip1 x 3.36 GHz Cortex-X3
2 x 2.8 GHz Cortex-A715
2 x 2.8 GHz Cortex-A710
3 x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM16GB RAM
Muatan Dalaman512GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP, f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
50 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
20 MP, f/2.4, OIS (Telefoto), 40X digital zum
4K/60P
Kamera Depan16 MP, f/2.45 (Depan)
16 MP, f/2.45 (Dalam)
4K/60P
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 66W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari terbina sisi
Harga JualanRM 6,999 (16/512GB)

Rekabentuk

Pada hemat saya rekaan menjadi kekuatan pada Magic V2. Seperti yang pernah dikongsikan melalui artikel pandang pertama penawaran Honor kali ini sememangnya cukup luar biasa melalui teknologi menarik. Perkara ini boleh dilihat dengan jelas melalui kemampuan mereka menghasilkan sebuah peranti yang nipis dan ringan dalam satu masa. Senipis 9.9mm apabila dilipat dan 4.7mm pula sewaktu dibentangkan.

Ia juga amatlah selesa digunakan untuk tempoh masa panjang disebabkan berat yang hanya 231-gram termasuk bateri. Engsel juga direka semula menjadikannya lebih nipis tanpa ruang kosong ketara sewaktu peranti dilipat. Sekaligus membuatkan pengalaman membuka dan menutup terasa baik tanpa bunyi aneh. Malahan dipasarkan boleh digunakan sehingga 400,000 kali lipatan namun tetap menimbulkan persoalan mengenai ketahanan.

Peranti nampak cantik dengan dua variasi disediakan di Malaysia yang termasuk kemasan pusam Silk Purple seperti unit ulasan diterima. Sejujurnya masih terasa licin tanpa kerangka namun tidak pula mudah memerangkap peluh. Melaluinya juga terdapat bonggol kamera kaca dengan tiga kamera dan sebuah LED Flash disediakan.

Sisi kanan menempatkan butang kuasa dengan binaan berasaskan logam yang kukuh. Dalam masa sama menyokong pengimbas cap jari fizikal terbina yang mampu menyahkunci peranti dengan lancar. Butang laras audio pula pada sisi bertentangan, diikuti dengan slot kad SIM, port USB-C dan pembesar suara di bahagian bawah.

Pembesar suara sejenis stereo yang menyokong audio IMAX dan DTS:X Ultra dengan lontaran audio cukup kuat. Namun kedengaran tidak seimbang dan boleh disedari dengan bunyi lebih kuat pada pembesar suara bawah berbanding bahagian atas. Tiada bicu audio 3.5mm juga membuatkan pengguna perlu bergantung sepenuhnya dengan fon telinga nirwayar. Bagaimanapun adanya pemancar merah dan NFC terbina sedikit sebanyak memberi nilai tambahan menarik.

Kelemahan utama juga kelihatan apabila peranti langsung tidak melepasi penarafan kalis air secara rasmi. Agak mengecewakan untuk sebuah peranti premium sebegini sedangkan ciri tersebut menjadi tumpuan pengeluar lain seperti Samsung dan Huawei. Dalam masa sama ia juga dianggap penting pada sesebuah peranti untuk penggunaan jangka masa panjang.


Skrin Luar Dan Dalam

Pada kedudukan terbuka skrin utama 7.92-inci digunakan tidak menunjukkan perubahan yang besar dengan Magic Vs sebelum ini. Cumanya skrin sekunder 6.43-inci kini lebih kecil tetapi masih boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk kegunaan harian tanpa isu.

Skrin sepenuhnya daripada LTPO OLED yang juga menyokong 2156 X 2344 piksel untuk skrin luar, dan 1060 X 2376 piksel pula pada skrin dalam. Selain juga menyokong kadar segar semula 120Hz, HDR10+, kecerahan puncak maksimum 1,600nits, dan teknologi 3,840Hz PWM Dimming.

Tiada isu untuk persembahan visual malahan keseluruhannya cantik, jelas dan bermaya khususnya digunakan dalam kawasan tertutup. Tatalan juga lancar dengan skrin 120Hz yang diaktifkan selain juga boleh ditukar di antara 90/60Hz untuk lebih penjimatan bateri.

Kebolehan pengesanan jari juga responsif yang menjadikannya lebih seronok digunakan. Kesan lipatan tidaklah begitu jelas kelihatan namun masih boleh dirasai apabila jari digerakkan melalui tunjang mekanisme lipatan.


Penanda Aras – Snapdragon 8 Gen 2

Magic V2 menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2 bersama memori 16GB LPDDR5X RAM dan storan dalaman 512GB UFS4.0. Kedengaran agak ketinggalan lebih-lebih lagi apabila cip Snapdragon 8 Gen 3 telah dilancarkan sebagai pemproses mercu paling berkuasa ketika ini.

Namun ketahuilah bahawa Snapdragon 8 Gen 2 masih cukup berkuasa dan saya langsung tidak mengalami sebarang gangguan prestasi dalam kegunaan harian. Aplikasi boleh dibuka serta-merta dan tatalan juga lancar dengan skrin 120Hz diaktifkan. Pengalaman bermain permua juga menyeronokkan tanpa isu pemanasan melampau sepanjang tempoh ulasan.

Lebih-lebih lagi dibantu pula dengan sokongan memori besar yang lebih daripada mencukupi untuk kebanyakan pengguna. Memori tersebut juga boleh dikembangkan secara maya 7GB RAM melalui RAM Turbo. Bermakna lebih banyak aplikasi boleh dilancarkan serentak dan proses menukarnya juga amatlah pantas.

Cuma kekangannya tiada kebolehan diubah sendiri seperti yang ditawarkan pada sesetengah peranti Android lain. Pernah juga sekali peranti mengeluarkan amaran berserta cadangan penambahbaikan sekiranya tahap pemanasan lebih daripada kebiasaan.

Saya juga sempat membandingkan Magic V2 dengan peranti boleh lipat di pasaran Malaysia setakat ini dan berikut markah ujian penanda aras yang dicatatkan:

AnTuTu 3D
  • Honor Magic V2 – 1,221,713
  • Samsung Galaxy Z Fold5 – 1,597,608
  • Huawei Mate X3 – 1,131,954
  • Oppo Find N3 – 1,405,149
Geekbench 6
  • Honor Magic V2 – 1985/5258
  • Samsung Galaxy Z Fold5 – 1948/5373
  • Huawei Mate X3 – 1746/4379
  • Oppo Find N3 – 1537/4561
3DMark Wild Life Extreme
  • Honor Magic V2 – 13351
  • Samsung Galaxy Z Fold5 – 2929
  • Huawei Mate X3 – N/A
  • Oppo Find N3 – 3654

Perisian – MagicOS 7.2 (Android 13)

Seterusnya Magic V2 dilengkapi perisian MagicOS 7.2 berasaskan Android 13 yang ternyata ketinggalan kerana kebanyakan peranti sekarang sudah menjalankan Android 14. Dijangka boleh diberi kemudian memandangkan Honor menjanjikan kemas kini Android selama empat tahun, serta lima tahun sekuriti pada peranti.

Pujian boleh diberikan pada kemampuan peranti yang berfungsi dengan baik bersama ciri pintar terbina untuk pengalaman multi-tugas lebih menyeronokkan. Misalnya seperti kebolehan melancarkan sehingga dua aplikasi dan satu tetingkap terapung serentak yang berguna untuk memanfaatkan keseluruhan ruang skrin. Begitu juga dengan kebolehan dua permua dimainkan serentak dalam satu skrin melalui mod khusus.

Meskipun begitu keadaan ini masih dirasakan tidak begitu fleksibel seumpama Boundless View Mode yang ditawarkan pada Oppo Find N3, yang membolehkan tiga aplikasi dilancarkan serentak dalam saiz penuh. Malahan turut boleh disusun mengikut kesesuaian dengan meletakkan dua aplikasi di atas dan satu pula di bahagian bawah dalam mod skrin penuh.

Kebolehan gerak isyarat pada ikon yang akan membesarkan saiznya juga masih diberikan. Selain juga terdapatnya fungsi Hover Mode yang membahagikan peranti kepada dua skrin apabila dilipat separuh untuk kegunaan beberapa perkara seperti aplikasi kamera atau main balik video di YouTube. Menarik sekali Magic V2 juga menyokong stylus pada skrin boleh-lipat. Tetapi stylus ini tidak berikan percuma atau mempunyai tempat simpanan khusus pada tubuh.

Kemudian kalau perasan salah satu tangkap layar dikongsi berkaitan dengan Google, benar? Magic V2 berfungsi sepenuhnya dengan mana-mana aplikasi atau perkhidmatan yang memerlukan log masuk ke akaun Google. Sekaligus aplikasi seperti YouTube, Google Maps, Google Photos, GMail dan banyak lagi ekosistem Google boleh diakses tanpa masalah.

Kekurangan pula boleh dilihat pada penyesuaian yang terhad untuk tema dan ikon. Kemudian tidak semua aplikasi menyokong mod skrin penuh dengan dua bar hitam jelas kelihatan. Masalah lambakan aplikasi gendut (bloatware) yang sedia dimuat-turun juga masih berlaku di sini.


Kamera Dan Kualiti Gambar

Magic V2 dilengkapi tiga kamera utama lensa sudut lebar 50MP(f/1.9), ultra sudut lebar 50MP (f/2.0) dan telefoto 20MP (f/2.4) dengan OIS terbina. Diikuti juga kamera swafoto sebesar 16MP (lebar) (f/2.2) digunakan pada kedua-dua belah skrin luar dan dalam. Rakaman video maksimum 4K boleh dibuat pada kedua-dua belah kamera, dan kebolehan zum pula meningkat kepada 40X digital.

Buka sahaja aplikasi kamera terdapat beberapa fungsi terbina disediakan seperti Night, Portrait, Photo, Video, Movie dan More. Dalam masa sama kamera menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya yang baik. Turut disertakan ciri Milisecond Falcon Capture dan AI Motion Sensing Capture seperti yang boleh dijumpai pada Magic5 Pro sebelum ini.

Kamera utama berfungsi baik sekali dengan kualiti gambar memuaskan untuk kebanyakan situasi. Ia boleh mengambil gambar yang terang dan jelas secara konsisten kecuali dalam pencahayaan malap. Ditambah baik lagi dengan perincian terjaga bersama dedahan juga baik khususnya untuk subjek dalam pencahayaan melampau.

Penghasilan warna juga sedap dipandang mata, cuma menjadi terlalu tepu dalam sesetengah keadaan yang melibatkan warna-warna terang seperti merah atau kuning misalnya. Kewujudan hingar juga hampir tidak kelihatan dalam kebanyakan gambar melainkan hasil ultra-lebar dan waktu malam. Night Mode diberikan namun gambar yang diambil melalui secara lalai melalui kamera utama lebih memuaskan.

Peningkatan menarik sudah tentunya pada kemampuan telefoto dengan hasil terbaik setakat 10X bersama warna yang juga konsisten. Selebihnya pula memberi hasil kurang memuaskan dengan masalah hingar dan butiran yang hilang sepenuhnya. Hasil swafoto pula lebih ke arah semula tanpa mod kecantikan diaktifkan.


Bateri

Bateri 5,000mAh adalah sama dengan Magic Vs namun lebih besar berbanding 4,700mAh yang digunakan pada Magic V. Pujian diberikan buat Honor yang boleh menawarkan bateri cukup besar dalam tubuh peranti yang amat nipis dan ringan setakat ini.

Tiada masalah peranti bertahan sepanjang hari dengan SOT antara 8 hingga 10 jam yang digunakan untuk kebanyakan aktiviti harian. Misalnya seperti melayari web, mengambil gambar, menonton kandungan video, mendengar spotify dan bermain permua yang bergantung pada sambungan Wi-Fi/hotspot sepenuhnya.

Kemudian peranti boleh dicas semula kurang daripada satu melalui port USB-C dan pengecasan berwayar 67W. Kepala pengecas juga diberi percuma namun tiada pengecasan nirwayar diberikan boleh dianggap ralat untuk sebuah peranti premium yang berharga hampir RM7,000.


Apa Dalam Kotak

  • 1 X Honor Magic V2.
  • 1 X Kepala pengecas Honor SuperCharge.
  • 1 X Kabel USB-C.
  • 1 X Manual pengguna.
  • 1 X Kad jaminan.
  • 1 X Kerangka pelindung.

Honor Magic V2Samsung Galaxy Z Fold5Oppo Find N3
Luar – 6.43″ OLED LTPO, 120Hz
Dalam – 7.92″ OLED LTPO 120Hz, HDR10+
Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
Luar – 6.3″ AMOLED LTPO 120Hz
Dalam – 7.8″ AMOLED LTPO 120Hz, Dolby Vision
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.2 GHz Cortex X3
2 X 2.8 GHz Cortex A715
2 X 2.8 GHz Cortex A710
3 X 2.0 GHz Cortex 510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.36 GHz Cortex X3
2 X 2.8 GHz Cortex A715
2 X 2.8 GHz Cortex A710
3 X 2.0 GHz Cortex 510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.2 GHz Cortex X3
2 X 2.8 GHz Cortex A715
2 X 2.8 GHz Cortex A710
3 X 2.0 GHz Cortex 510
Adreno 740Adreno 740Adreno 740
16 GB LPDRR5X12GB LPDRR5X12GB LPDRR5
512 GB UFS 4.0256/512/1000 GB UFS 4.0256/512/1000 GB UFS 4.0
Kamera Utama
50MP, Sudut Lebar,OIS
50MP, Ultra Sudut Lebar
20MP, Telefoto, OIS
Kamera Utama
50MP, Sudut Lebar, OIS
10MP, Telefoto, OIS
12MP, Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
48MP, Sudut Lebar, OIS
64MP, Telefoto,
48MP, Ultra Sudut Lebar
Kamera Hadapan
16 MP f/2.45 (Depan)
16 MP f/2.45 (Dalam)
Kamera Hadapan
10-MP f/2.2
4-MP f/1.8 (UDC)
Kamera Hadapan
32-MP f/2.4
20-MP f/2.2 (Dalam)
Tidak kalis airIPX8Tidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5,000 mAh (Berwayar 67W)4,400 mAh (Berwayar 25W)4,800 mAh (Berwayar 67W)
RM 6,999 (16/512GB)RM 6,799 (12/256GB)
RM 7,299 (12/512GB)
RM 8,299 (12/1000GB)
RM 7,999 (16/512GB)

Kesimpulan

Pengalaman menggunakan Magic V2 keseluruhannya terasa memuaskan. Rekaan sekali lagi dikatakan menjadi kekuatan dengan tubuh peranti paling nipis dan ringan menjadikannya lebih baik berbanding pesaing di pasaran sekarang. Ditambah baik lagi dengan kemampuan paparan, perkakasan dan sistem kamera memuaskan terasa lebih seronok untuk digunakan.

Hal yang sama boleh dirasai melalui sokongan bateri besar dan pengecasan pantas yang amat berguna untuk kegunaan sepanjang hari. Tetapi tiada penarafan kalis air dan pengecasan nirwayar menjadi kelemahan paling utama pada sebuah peranti premium dengan harga hampir RM7,000.


Pro

  • Paling nipis dan ringan setakat ini.
  • Tatalan lancar dengan skrin 120Hz.
  • Prestasi lebih mencukupi kegunaan harian.
  • Bateri besar dan pengecasan pantas.
  • Kamera memuaskan untuk kebanyakan senario.
  • Menyokong Google terbina.

Kontra

  • Android 13.
  • Tiada piawaian kalis air.
  • Tiada pengecasan nirwayar.
  • Perisian belum matang.
Komen