Sejak seminggu kebelakangan ini, ramai pihak yang mula membincangkan berkenaan dengan FashionValet yang kini pegangan majoritinya diambil-alih oleh NXBT pada nilai jauh lebih rendah berbanding nilai pelaburan ketika Khazanah melabur. Menjawab mengenainya, kini Khazanah mempertahan pelaburan berjumlah RM27 juta oleh mereka pada FashionValet pada tahun 2018.
FashionValet pada beberapa tahun dahulu menerajui arena edagang dengan menjadi pusat sehenti untuk pembelian pakaian, tudung dan sebagainya. Namun, fokusnya beralih kepada mengutamakan jenama pakaiannya sendiri – membuatkan jenama lain tidak lagi dijual melalui platform edagang berkenaan. Pada hari ini, FashionValet tidak lagi beroperasi sebagai sebuah laman edagang yang menghimpunkan jenama-jenama pakaian lain, sebaliknya memfokuskan kepada dua jenama milik penuh FashionValet, iaitu Duck dan juga Lilit.
Melalui komen yang diberikan kepada BusinessTimes, Khazanah mengatakan mereka sebagai pelabur pasaran swasta sering melakukan pelaburan pada pelbagai portfolio, dan melupuskan pegangan, berdasarkan kepada strategi dan kedudukan pelaburan.
Sebelum ini, Khazanah dilihat memegang pegangan pada FashionValet melalui syarikat milik penuh Pulau Tiga Ventures. Namun, pegangan berkenaan dilihat telah dijual atau dilupuskan. Ia tidak diketahui sama ada pelaburan pada FashionValet merupakan eksperimen awal Khazanah untuk pelaburan pada syarikat pemula (startup) atau sebaliknya, memandangkan mereka pernah menyatakan lebih memfokuskan pelaburan bersaiz besar, dan tidak terus ke sesuatu syarikat pemula ketika ramai bertanyakan mengapa Khazanah tidak melabur pada Grab.
Apa pun, bergerak ke hadapan, kini Khazanah turut telah mengintegrasikan MAVCAP dan Penjana Kapital dibawah mereka, sekaligus akan menerima lebih banyak kepakaran dalam melabur pada pelbagai fasa syarikat tempatan, mahupun antarabangsa. Dan seperti biasa, semua pelaburan mempunyai risiko tersendiri, sama ada untung atau rugi, dan semestinya perlu melalui penilaian semasa yang mungkin sesuai pada sesuatu masa.