Memikir idea untuk video yang boleh menarik perhatian orang ramai adalah tugas yang sukar. Teknologi AI generatif membantu memberi inspirasi dan YouTube sedar akan perkara ini. Terbaru, YouTube Studio telah melancarkan Inspiration Tools untuk pemilik saluran berbincang dengan AI mengenai idea kandungan yang menarik.
Di dalam YouTube Studio, satu tab Inspiration telah ditambah. Ia adalah untuk perbincangan idea video termasuk membantu dengan proses aliran projek. Selain itu, judul video dan imej kerdil turut boleh dijana oleh Inspiration Tools ini. Ciri ini diedarkan secara berperingkat dan tahun hadapan, komen teratas dan inspirasi dari video saluran lain turut akan ditambah untuk membantu lagi pemilik saluran menghasilkan kandungan berkualiti.
Anda ingat lagi Dream Screen? Ia adalah ciri AI generatif menjana video dan alih suara menggunakan AI dengan idea kreatif anda. Kini YouTube mengintegrasikan Google Veo dari DeepMind untuk menjana video yang lebih realistik. Antara contoh diberikan adalah, hos video ulasan buku sendiri berada di dalam buku di antara setiap muka surat. Ciri ini turut akan mempunyai tera air SynthID agar tidak mengelirukan orang ramai.