Carian
ZEISS Akan Setia Dengan vivo Untuk Jangka Masa Panjang
September 25, 2024 Fahim Zahar

Tahun ini bermulanya peranti kelas pertengahan berperang dengan setiap telefon mempunyai teknologi kamera dengan kerjasama bersama pengeluar kamera dan lensa terkenal. Antaranya adalah siri vivo V40 dan juga siri Xiaomi 14T. Ketika saya berada di Oberkechen, Jerman bersama vivo – saya berkesempatan menziarahi ibu pejabat dan muzium ZEISS.

Tanpa segan silu, saya terus bertanya kepada wakil ZEISS yang selepas bekerjasama dengan Nokia dan Sony, kini dengan vivo – adakah ZEISS berminat untuk bekerjasama dengan pengeluar telefon pintar lain? Sebastian Dontgen selaku Ketua Pengurusan Kategori, Pemasaran dan Jualan beliau menjawab yang buat masa ini ZEISS tidak akan memilih sesiapa selain vivo dan hanya memberi lesen kepada Sony. Ini kerana, vivo dan ZEISS melakukan perjanjian untuk bekerjasama dalam jangka masa panjang yang tidak terhad dengan masa. Ini adalah untuk pembangunan teknologi dan menawarkan inovasi baharu bersama-sama dalam masa yang singkat dengan sasaran mengeluarkan penawaran terkini seawal mungkin.

1) Nick Lee, 2) Sebastian Döntgen, 3) Ramona Ettig, 4) Oliver Schindelbeck

Oliver Schindelbeck selaku Pengurus Teknologi Telefon Pintar Senior, memberitahu yang kerjasama bersama vivo ini turut membenarkan teknologi lensa mewah ZEISS yang biasanya berharga paling murah atas RM20,000 diberikan pada telefon pintar yang dijual bermula bawah RM2000.

ZEISS Exolens untuk iPhone 6 – Tahun 2016

Bukan itu sahaja, dengan perubahan zaman seperti rekabentuk telefon pintar atau teknologi multi-kamera membuatkan ZEISS tidak lagi perlu mengeluarkan aksesori lensa khas untuk mana-mana telefon pintar seperti yang pernah mereka tawarkan untuk iPhone pada tahun 2016. Walau bagaimanapun, jika masa depan mengizinkan mereka akan cuba bereksperimen dengan kit fotografi dengan pelbagai butang serta mungkin kebolehan menggunakan lensa ZEISS terus ke telefon.

Tengah lensa sebenar ZEISS, kiri dan kanan versi dikecilkan untuk vivo

Pada masa yang sama, Dr. Ramona Ettig iaitu Ketua Kajian & Pembangunan Pengimejan Peranti Mudah Alih berkongsi yang setiap kali ada ciri atau fungsi baharu ia datang dari kedua-dua vivo dan ZEISS sendiri. Setiap kali ada idea menarik untuk telefon pintar, mereka akan ada pasukan khas untuk bertemu dan berbincang untuk memastikan idea ini boleh menjadi kenyataan.

Nick Lee iaitu Pengarah Produk vivo untuk Asia Tenggara turut menambah yang kerjasama antara vivo dan ZEISS bukan sahaja kerana logo sama-sama berwarna biru tetapi kerana kedua-dua syarikat mempunyai nilai dan impian yang sama. Secara tidak langsung vivo dan ZEISS berharap kerjasama mereka ini akan kekal selamanya, tidak seperti Huawei dan Leica yang telah tamat atau Oppo dan Hasselblad yang terhad untuk tiga tahun sahaja.

Komen