Animasi Menunjukkan Bagaimana Ekranoplan Liberty Lifter Bakal Berfungsi
Effi Saharudin
Projek Liberty Lifter diumumkan oleh DARPA pada tahun 2022 bagi menghasilkan ekranoplan bagi kegunaan tentera Amerika Syarikat. Rekaan General Atomics dan Aurora Flight Systems kemudiannya dipilih ke fasa seterusnya tahun lalu. Minggu ini Aurora Flight Systems berkongsi animasi bagaimana ekranoplan mereka akan berfungsi kelak.
Animasi menunjukkan pesawat terbang pada ketinggian sekitar 30 meter daripada permukaan laut. Ketika terbang hanya empat daripada lapan enjin diperlukan. Ia kemudiannya mendarat di atas permukaan laut dan mengeluarkan kargo kereta perisai amfibia dari buritan kapal. Seterusnya ia akan kembali terbang ke udara dengan bantuan kelapan-lapan enjin.
Terdapat perubahan pada rekaan ekranoplan di dalam video di atas dengan rekaan asal kerana ia kini mempunyai ekor berkembar dan sayap yang tidak lagi bengkok ke bawah seperti sayap burung camar. Dua pelampung kini juga diletakkan pada hujung sayap seperti Hughes H-4 Hercules.

Tidak seperti ekranoplan yang dibina oleh Kesatuan Soviet ketika dekad 1960an, ekranoplan Project Liberty berkemampuan terbang pada ketinggian sehingga 3000 meter apabila diperlukan dan beroperasi dalam keadaan permukaan berombak sehingga 2.5 meter.
Aurora Flight Systems berkata mereka kini dalam fasa membina prototaip skala kecil dengan sayap selebar 65 meter. Seterusnya pesawat skala sebenar akan dibina dengan sasaran ia akan melakukan penerbangan pertama pada tahun 2028. Pesawat skala sebenar ini menyasarkan kemampuan membawa kargo seberat 81,000 kg.

Projek ini dimulakan DARPA selepas melihat situasi pengembangan kawasan “9 garisan putus” di Laut China Selatan oleh China. Sekiranya perang berlaku antara China dan Amerika di masa hadapan, penggunaan kapal pengangkut konvensional sukar dilakukan kerana tidak terdapat banyak lapangan terbang yang boleh mendarat di atas landasan pendek. Penggunaan ekranoplan sebagai pesawat kargo bukan sahaja menyelesaikan isu ini tetapi pada waktu yang sama adalah penyelesaian yang lebih pantas.
[sumber] Aurora Flight Sciences [/sumber]