Lenovo Meniriskan Ketibaan Dua Konsol Legion Go Baru – Legion Go Gen 2 Dan Legion Go Lite
Nazrin
Pada minggu lepas kami ada melaporkan bahawa kerangka sebuah konsol permainan PC baru daripada Lenovo telah diperlihatkan, dan ia mungkin hadir dengan nama Lenovo Legion Go Lite. Terkini, nampaknya satu kemaskini kepada laman produk aksesori mereka telah mengesahkan kewujudan bukan sahaja konsol Legion Go Lite, tetapi juga generasi kedua Lenovo Legion Go.

Laman produk untuk aksesori Lenovo Legion Go USB-C Dock sebelum ini sudahpun memperlihatkan sokongan untuk konsol Lenovo yang pada awalnya terdiri daripada Lenovo Legion Go, tetapi untuk beberapa ketika, juga telah dikemaskini dengan dua buah model baru, iaitu Lenovo Legion Go Lite dan juga Lenovo Legion Go Gen Two.
Buat masa ini, Lenovo masih belum memperlihatkan sebarang butiran rasmi mengenai kedua-dua konsol baru ini. Berdasarkan laporan kami sebelum ini, Lenovo Legion Go Gen Two dijangka akan dikuasakan cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan, manakala Lenovo Legion Go Lite dijangka akan menggunakan cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 sahaja.

Menariknya, dok Lenovo Legion Go USB-C ini juga nampaknya mengesahkan bahawa kedua-dua model baru ini akan tampil dengan palam pengecasan USB Type-C di bahagian bawah konsol, dan untuk konsol Lenovo Legion Go Gen Two khususnya, akan mengekalkan saiz paparan 8.8 inci yang diperkenalkan pada model asal.
[sumber]VideoCardz[/sumber]