Carian
Xiaomi Tidak Lagi Menawarkan Pengecas Di Dalam Kotak
October 1, 2024 Fahim Zahar

Empat tahun lepas, Apple menjadi pengeluar yang memulakan trend tidak lagi menyertakan pengecas di dalam kotak atas alasan menjaga alam sekitar dan mengurangkan sisa elektronik. Ia bermula dengan iPhone 12, tetapi iPhone 11 pada ketika itu turut dilancarkan semula dengan kotak baharu tanpa pengecas. Secara perlahan, pengeluar lain seperti Samsung, Google dan OnePlus turut melakukan perkara sama. Xiaomi sebenarnya turut telah melakukan perkara ini.

Ketika Xiaomi Mi 11, tiada pengecas di dalam kotak diberikan tetapi pengguna boleh mendapatkan pengecas secara percuma tanpa kos tambahan. Perkara ini dihentikan kerana Xiaomi Mi 11T, Xiaomi 12 sehinggalah Xiaomi 14 – pengecas kembali disertakan di dalam kotak. Kini, kedua-dua Xiaomi 14T pula diteruskan dengan tiada lagi pengecas di dalam kotak dan hanya kabel diberikan.

Bukan itu sahaja, Redmi 14C yang murah itu pun, Xiaomi tidak lagi menyertakan pengecas. Perkara ini berlaku kerana undang-undang Eropah di bawah European Common Charger Directive yang tidak menyarankan pengeluar peranti menawarkan berkas peranti bersama pengecas.

Berita baik kepada pengguna di Malaysia, Xiaomi masih memberikan pengecas berasingan 120W HyperCharge untuk pembelian Xiaomi 14T Pro dan 67W HyperCharge untuk pembelian Xiaomi 14T tanpa sebarang cas tambahan. Dikhabarkan, ia akan ditawarkan selagi stok masih ada. Adakah anda boleh menerima perubahan ini atau tidak?

Komen