Cip MediaTek Dimensity 9400 Kini Rasmi Dengan CPU Cortex-X925 Berkuasa
Effi Saharudin
Cip pemproses mercu MediaTek Dimensity 9400 akhirnya dilancarkan secara rasmi sebentar tadi dengan penggunaan CPU generasi baharu Cortex-X925 di bawah keluarga Armv9 yang diumumkan Mei lalu.

Dimensity 9400 masih dilengkapi 8 teras CPU yang terdiri daripada satu teras Cortex-X925 pada kelajuan 3.62 GHz, tiga teras Cortex-X4 pada kelajuan 3.3 GHz dan empat teras Cortex-A720 pada kelajuan 2.4GHz. Di atas kertas Dimensity 9400 ialah cip telefon pintar paling berkuasa di pasaran untuk peranti mercu Android memintas Snapdragon 8 Gen 3.
Ia turut dilengkapi GPU Immortalis-G925 MC12 dan NPU 890 generasi ke lapan yang membolehkan ia menjalankan pelbagai model AI seperti Gemini Nano terus daripada sebuah telefon pintar. MediaTek berkata Dimensity 9400 adalah 41% lebih berkuasa berbanding Dimensity 9300, 40% lebih berkuasa menjalankan ray-tracing tetapi mengurangkan penggunaan kuasa sehingga 44% menerusi penggunaan teknologi 3nm TSMC.

Cip mercu ini menyokong memori LPDDR5X, storan UFS 4.0 + MCQ, mampu menyokong kamera sehingga 320MP, rakaman video 8K 60FPS, skrin WQHD+ sehingga 180Hz, sokongan peranti tri-skrin boleh lipat, WiFI 7, 5G Sub 6GHz dan bluetooth 5.4.
Peranti terawal yang akan menggunakan Dimensity 9400 ialah siri Oppo Find X8 dan siri Vivo X200 yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.