Amazon Menggunakan Kuasa Nuklear Untuk Pusat Data Seperti Google dan Microsoft
Effi Saharudin
Keperluan tenaga yang tinggi kini memaksa pula Amazon untuk menggunakan loji tenaga nuklear bagi menjana keperluan elektrik pusat data mereka. Amazon menandatangani perjanjian dengan beberapa syarikat untuk bukan sahaja menggunakan sumber tenaga nuklear tetapi juga membangunkan teknologi reaktor baharu dalam jangka masa terdekat.
Pertama sekali Amazon menandatangani perjanjian dengan Energy Northewest untuk membangunkan empat Reaktor Modular Kecil (SMR) yang akan menjana 320 MW tenaga pada fasa pertama dan kemudian meningkat ke 960 MW selepas siap sepenuhnya. Tidak seperti reaktor nuklear konvensional, SMR dalam dibina dengan lebih pantas membolehkan Amazon menggunakan tenaga lestari lebih pantas bagi memenuhi sasaran keseluruhan operasi sifar-bersih karbon menjelang 2040.

Amazon turut melakukan pelaburan ke dalam X-energy yang sedang membangunkan SMR generasi seterusnya yang boleh menjana sehingga 5 GW tenaga lestari. Pelaburan yang serupa juga dilakukan ke dalam Dominion Energy yang turut mempunyai teknologi SMR tersendiri. Akhir sekali Amazon akan membuka sebuah pusat data baharu bersebelahan loji tenaga nuklear di Pennsylvania.
Pembukaan pusat data baharu oleh syarikat teknologi dunia menerima kritikan tahun lalu kerana penggunaan tenaga dan air yang tingi. Penggunaan tenaga tinggi menyebabkan hampir kesemua syarikat gagal memenuhi sasaran mengurangkan tapak karbon kerana menggunakan loji tenaga bahan api fosil. Beberapa hari lalu Google turut mengumumkan penggunaan tenaga nuklear SMR untuk pusat data selepas Microsoft memulakan langkah pertama pada pertengahan September.
Ini juga akan menjadi isu besar di Malaysia yang akan menjadi pusat data utama rantau Asia Tenggara. Majoriti loji kuasa Malaysia menggunakan bahan api fosil. ini mungkin antara sebab utama mengapa Malaysia tidak menolak penggunaan tenaga nuklear dalam masa terdekat.