Pusat Respons Scam Kebangsaan Terima Lebih 100,000 Aduan Dengan Kerugian Sebanyak RM371 Juta
Amy Maizuraa
Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah ditubuhkan sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian. Sehingga Ogos 2024, sejumlah 122,603 panggilan aduan telah diterima oleh NSRC sejak penubuhannya pada Oktober 2022. Menurut Kementerian Kewangan (MOF), jenis aduan yang diterima adalah bagi penipuan dan khidmat nasihat kepada orang ramai dengan jumlah kerugian yang dilaporkan sebanyak RM371 juta.

Memaklumkan perkara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan keperluan untuk bank memastikan kawalan dan standard keselamatan aktiviti perbankan atas talian sentiasa diperkukuh selaras dengan amalan industri terbaik. Kesan yang boleh dilihat daripada langkah berkenaan menunjukkan impak positif, di samping turut mendedahkan pelaksanaan langkah tambahan sebelum ini berjaya menyekat transaksi mencurikan bernilai RM383 juta bagi tahun 2023.
MOF memaklumkan tindakan berterusan turut diambil bagi mengukuhkan keselamatan perkhidmatan perbankan internet melalui sejumlah inisiatif seperti menambah baik dasar eKYC dan menguatkuasakan mekanisme “kill switch” untuk penguna mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka sendiri sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan.

Untuk rekod, belanjawan 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober lalu memaklumkan sejumlah RM20 juta diperuntukkan untuk memperhebatkan lagi pusat berkenaan. Seterusnya dijadikan langkah terbaik dalam memerangi penipuan dalam talian.
[info] BERNAMA [/info]