Ya saya tahu dan sedar, setiap kali saya mengulas jam tangan pintar di Amanz saya mudah bertukar hati. Sekejap kata jam Sequent terbaik, kemudian Apple Watch Series 8, Samsung Galaxy Watch Ultra dan kini Apple Watch Series 10. Sekarang sudah hampir sebulan saya menggunakan Apple Watch dan apabila saya tukar kembali ke jam Wear OS saya terus berasa janggal dan artikel ini akan cuba jawab adakah jam tangan pintar baharu Apple ini berbaloi?
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Skrin | 1.96″ LTPO3 OLED sudut-lebar, Ion‑X 416 x 496, 2000 nits Muka jam mod malam Always-On Retina |
Pemproses | S10 SiP 64‑bit dwi-teras 4-teras Enjin Neural |
Memori/Storan | 1GB RAM + 64GB Storan |
Sistem Operasi | watchOS 11 |
Perlindungan | Tahan air sehingga 50m Perlindungan debu IP6X |
Sensor | Sensor elektrik jantung Sensor jantung optik gen-3 Sensor suhu Sensor oksigen darah Kompas Altimeter sentiasa-aktif Pemecut High-g Giroskop julat dinamik tinggi Sensor cahaya ambien Tolok kedalaman Sensor suhu air |
Lain-Lain | L1 GPS, GLONASS, Galileo, QZSS, BeiDou LTE & UMTS Wi-Fi 4 (802.11n) Bluetooth 5.3 Cip Ultra Wideband Gen-2 |
Keselamatan | SOS Kecemasan Panggilan kecemasan antarabangsa Pengesan kemalangan Pengesan jatuh Pemantauan hingar Jejak balik |
Bateri | 327mAh 18 jam/1 hari – Biasa 36 jam/2 hari – Mod kuasa rendah Pengecasan pantas 80% cas – 30 minit |
Bahan Binaan | Mesra alam, kitar semula |
Harga | Bermula RM1,799 |
Apple mengatakan ini adalah kali pertama Apple Watch direka semula sepenuhnya. Ya, anda pasti tertanya apa yang baru kalau masih nampak sama? Jawapannya, ia lebih kepada dalaman tetapi di luar anda boleh lihat yang skrin kini mempunyai bezel lebih nipis serta saiznya adalah lebih besar dan ia merupakan kali pertama Apple menggunakan skrin AMOLED LTPO jenis sudut ultra-lebar.
Semua komponen dalaman telah direka semula dan ini menjadikan tombol berputar pada jam ini lebih ketat dan sedikit sukar untuk dikawal berbanding Apple Watch Series 9 ke bawah atau juga Apple Watch Ultra. Tombol ini menjadi lebih ketat kerana tubuh lebih nipis dan tangan saya yang lebih besar. Rekaan bahagian lain seperti butang sisi, dan kekisi speaker juga kini lebih kemas.
Apple Watch Series 10 turut kekal dengan sokongan kawalan gestur jari tanpa menyentuh skrin. Apple turut menyertakan banyak ciri dan fungsi lebih kurang sama dari Apple Watch Ultra. Antaranya adalah mengecam kedalaman dan suhu air, membunyikan siren, dan juga skrin lebih cerah yang tidak mengorbankan kuasa bateri. Saya turut menggemari pilihan warna Jet Black yang kini nampak premium dan berkilat tanpa ada masalah cat tertanggal untuk penggunaan lasak.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Apple Watch Series 10 masih membawakan pengalaman penggunaan yang sama berbanding generasi dua tahun lepas. Sepanjang penggunaan saya, saya tidak dapat rasakan beza ketara dengan Apple Watch Series 8. Walaupun ada cip baharu, rekaan baharu, watchOS 11 lebih pantas dan lain-lain perubahan – jam ini hanya rasa lebih selesa sahaja.
watchOS 11 adalah antara sistem operasi Apple yang masih tidak mempunyai integrasi Apple Intelligence. Ini menyebabkan penggunaan Siri pada jam ini juga kurang menarik berbanding pada iPhone yang kini mempunyai animasi cantik. Walaupun begitu, untuk penggunaan selepas hampir sebulan – segala penjejakan kesihatan pada jam ini masih lagi antara yang paling sempurna.
Data yang direkod adalah lebih tepat, ia mudah dibaca, ada banyak bantuan teks untuk memudahkan pengguna faham akan maksud-maksud data yang direkod. Kebanyakan penjejakan dan imbasan juga boleh dilakukan dengan pantas. Fungsi GPS, aplikasi yang disokong, pemberitahuan notifikasi dan penggunaan lain pada jam ini juga masih pantas dan lancar tanpa sebarang masalah lengah masa.
Apple turut mementingkan sokongan audio dan pembayaran nirtunai, di mana penggunaan bersama jam ini akan memastikan proses yang mudah serta tidak rumit. Saya sangat mengharapkan yang akan datang, Apple boleh mengintegrasikan AI pada watchOS agar banyak data-data menarik, rumusan kesihatan dan lain-lain lebih mudah digunakan berbanding sekarang.
Apple juga masih Apple yang anda kenal, di mana produk ini telah sedia dijual dengan harga jualan penuh tetapi masih ada ciri serta fungsi yang tidak disertakan untuk pengguna di Malaysia. Misalnya, ciri baharu terhad kepada Vitals sahaja tetapi tiada sokongan menjejak apnea tidur yang dikatakan memerlukan pengiktirafan kementerian kesihatan negara terlebih dahulu.
APLIKASI
Untuk aplikasi, Apple bergantung kepada dua iaitu Watch dan Health. Penggunaan semula Apple Watch ini membuatkan saya sedar yang Apple antara terawal yang memerlukan dua aplikasi untuk satu peranti boleh pakai sebelum Wear OS mengarahkan pengeluar jam menggunakan aplikasi sendiri dan bukan aplikasi Google di samping turut menggunakan Health Connect untuk integrasi mesra semua jenama.
Aplikasi Watch dan Health pada Apple juga dilihat sebagai inspirasi utama untuk aplikasi Galaxy Wearables dan Samsung Health direka. Apa yang saya nampak pada Apple adalah iterasi yang lebih kemas dengan antaramuka memfokuskan kepada cards, widget serta graf dan carta yang mudah dibaca. Sekali lagi, jika Apple mengikut strategi Samsung – antaramuka ini akan menjadi lebih ringkas jika data-data kesihatan boleh dirumuskan AI.
BATERI
Untuk bateri, Apple Watch Series 10 pada hemat saya masih antara yang terbaik sehinggakan model jam mercu Samsung Galaxy Watch Ultra juga adalah lebih lemah. Apple Watch bukan Ultra ini tiada masalah untuk bertahan hampir 3 hari dengan penggunaan mod kuasa rendah. Sementara penggunaan harian saya adalah hampir dua hari dengan setiap kali jam dicas tiada masalah untuk bertahan dari 8 pagi hari Isnin sehingga waktu Maghrib hari Selasa.
Untuk penggunaan berat seperti penjejakan aktiviti dan semua kesihatan bersama dengan interaksi bersama notifikasi, Apple Watch Series 10 hanya boleh bertahan untuk satu hari penuh. Untuk pengecasan, Apple juga kini adalah antara terpantas berbanding Samsung dengan 30 minit boleh menerima 80% kuasa dan pengecasan penuh sehingga 100% mengambil masa kurang 1 jam.
APA ADA DALAM KOTAK?
- 1x Apple Watch Series 10
- 1x Tali jam
- 1x Pengecas bermagnet.
- 1x Set panduan dan buku keselamatan.
KESIMPULAN
Jam saya gunakan adalah Apple Watch Series 10 bersaiz 46mm dengan sokongan selular, binaan aluminium dan set bersama tali jam tekstil Sport Loop yang berharga RM2,449. Model jam ini boleh berharga dari RM1,799 untuk saiz 42mm + WiFi dengan tali jam silikon dan boleh meningkat sehingga RM4,699 untuk saiz 46mm + binaan Titanium + tali jam Link Bracelet.
Adakah harganya mahal? Ya, jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy Watch7 yang harga jualan bermula RM1,199. Percaya atau tidak, Samsung akan memberikan pengalaman penggunaan lebih kurang sama tetapi saya katakan Apple Watch Series 10 ini lebih berbaloi kerana sokongan perisian yang konsisten, sokongan khidmat bantuan pelanggan yang lebih profesional, serta penggunaan yang tidak merumitkan keadaan untuk majoriti masa jam ini dipakai.
Jika anda sedia mempunyai iPhone sebagai peranti harian, Apple Watch Series 10 adalah alternatif terbaik kepada Apple Watch Ultra 2 yang lebih mahal dan percayalah anda tidak akan menggunakan kesemua ciri dan fungsi. Jika anda memiliki peranti Android dan ya, saya akan katakan Galaxy Watch7 adalah jam WearOS asas terbaik anda boleh dapatkan sekarang.
PRO DAN KELEBIHAN
- watchOS 11 kekal menjadi sistem operasi jam tangan pintar terbaik.
- Skrin gila terang, pantas, besar, cantik dan laju tatal.
- Prestasi lancar yang tiada tandingan.
- Binaan premium, tahan lasak dan sangat seksi di tangan.
- Sensor dan data yang direkodkan cukup berguna untuk pemantauan kesihatan.
- Bateri yang sangat tahan lama dan pengecasan pantas.
KONTRA DAN KEKURANGAN
- watchOS 11 tiada Apple Intelligence.
- Habuk mudah masih di celah bezel skrin.
- Siri masih tidak cukup bijak.
- Harga jualan model asas yang agak tinggi berbanding pesaing.