Set Kepala XR Oleh Samsung Akan Dilancarkan Awal Tahun Depan
Effi Saharudin
Samsung memberikan petanda akan melancarkan set kepala realiti diperluas (XR) mereka awal tahun ketika acara Galaxy Unpacked Samsung Galaxy S24. Pelancaran set kepala yang dibangunkan dengan kerjasama Google dan Qualcomm ini telah ditangguh selepas melihat pelancaran Vision Pro. Samsunh kemudian tidak berkongsi sebarang maklumat baharu mengenainya sehinggalah ketika mengumumkan laporan kewangan untuk Q3 2024 semalam.

Samsung kini mengesahkan set kepala XR ini akan dilancarkan awal tahun depan dan besar kemungkinan serentak dengan siri Galaxy S25. Difahamkan rekaan set kepala ini adalah mirip dengan Meta Quest 3 dan tidak seperti Vision Pro. Ini adalah bagi mengurangkan kos jualan selepas melihat apa yang berlaku kepada Vision Pro beberapa bulan selepas dilancarkan.
Google akan memberikan ruangan khas untuk aplikasi VR, AR dan XR di dalam Play Store. Qualcomm pula kini mengeluarkan beberapa cip khusus untuk set kepala yang juga digunakan oleh Meta. Persoalannya sekarang masih wujudkah pasaran untuk set kepala XR sedangkan sambutannya sejak dari era Galaxy Gear VR lagi adalah kurang memberangsangkan.