Disney Tubuh “Pejabat Pemboleh Daya Teknologi” Khusus Untuk AI Dan AR
Fahim Zahar
The Walt Disney tidak asing dengan pelbagai pembangunan teknologi menarik seperti dari fiksyen menjadi realiti. Terbaru, mereka telah menubuhkan satu bahagian khas iaitu Pejabat Pemboleh Daya Teknologi khusus untuk kecerdasan buatan dan realiti terimbuh.

Pejabat ini iaitu Office of Technology Enablement akan membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan realiti terimbuh (AR) ini dikatakan untuk diimplementasikan ke dalam filem, kandungan televisyen dan bahagian dalam taman tema Disney. Ia akan diketuai oleh Jamie Voris, individu yang bertanggungjawab menjayakan aplikasi Disney+ dalam Apple Vision Pro.

Disney yakin yang AI dan AR akan mengubah persepsi pengguna terhadap menikmati kandungan, mengubah kerja-kerja kreatif dan juga membolehkan perniagaan dikembangkan lagi. Projek-projek di bawah pejabat ini adalah pelbagai tetapi akan memastikan ia selari dengan visi dan misi Disney. Pejabat Pemboleh Daya Teknologi ini akan mempunyai sehingga 100 pekerja.

Disney turut melihat yang masa hadapan kandungan realiti terimbuh yang sesuai untuk penggunaan bersama set kepala realiti gabungan/realiti diperluas boleh menarik ramai pengguna. Setakat ini, Marvel dan ILM ada bekerjasama untuk kandungan imersif dalam Apple Vision Pro. Memandangkan set kepala ini terhad di negara terpilih, penawaran kandungan pun terhad. Diharapkan dengan perkembangan industri set kepala, AI, dan realiti gabungan – kandungan Disney imersif ini juga akan diperluas ke dalam banyak platform mungkin Pico juga?
[sumber] Reuters [/sumber]