Disney bukan sekadar terkenal dengan watak puteri, filem, animasi dan taman tema. Mereka juga adalah pencipta yang telah mencipta pelbagai teknologi baharu, gajet aneh seperti robot pelagak ngeri, robot realistik, Lightsaber sebenar, dan banyak lagi. Terbaru, mereka berkongsi yang Holo Tile telah berjaya dicipta.
Apa itu Holo Tile? Jika anda pernah melihat pemain VR menggunakan sawat injak (treadmill) khas untuk bergerak setempat tetapi pelbagai arah, Holo Tile adalah versi jubin lantai. Jubin ini boleh memastikan manusia sentiasa berada di atasnya dengan bergerak setempat. Menariknya, berbeza dengan sawat injak yang digunakan oleh pemain VR – Holo Tile menyokong ramai orang bergerak ke pelbagai arah serentak.

Menurut wakil Disney Research, Holo Tile masih tidak pasti akan digunakan untuk apa di dunia nyata. Menurut mereka, ia mungkin boleh diletakkan di tempat VR atau di atas pentas untuk persembahan tarian yang unik. Seperti biasa, teknologi seperti ini akan menjadi eksklusif untuk Disney terlebih dahulu dan dijangka akan digunakan di Disneyland suatu hari nanti.

Apa yang saya nampak dengan jubin aneh ini adalah, Disney boleh mencipta Holodeck dari Star Trek. Holo Tile di dalam bilik khas, gabungkan dengan teknologi realiti gabungan imersif seakan Sphere atau teknologi The Volume, letak robot pelagak ngeri dan pancaran hologram – jika ini menjadi realiti saya sanggup menghabiskan wang simpanan untuk ke Disneyland.