India mencatatkan kejayaan menjadi negara pertama mendaratkan kapal angkasa di Kutub Selatan bulan tahun lalu. Kejayaan misi Chandrayaan-3 mendorong India untuk menghantar pula angkasawan pertama mereka ke angkasa lepas secara sendiri pada tahun 2025. Tetapi misi H1 di bawah program Gaganyaan telah ditangguh ke 2026 bagi mengelakkan ia mengalami masalah sama seperti program Boeing Starliner.
Selepas melihat isu Starliner yang terpaksa pulang ke bumi tanpa krew, Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) mengambil langkah lebih berhati-hati sebelum melancarkan angkasawan pertama menggunakan roket Launch Vehicle Mark-3 (LVM3). Beberapa misi ujian tanpa krew akan dilakukan tahun ini dan menerusi data yang dikumpul misi pertama yang membawa sehingga dua krew manusia akan dilakukan pada tahun 2026.
Setakat ini kapsul membawa angkasawan telah berjaya menjalani ujian lenting kecemasan pada ketinggian 17 kilometer. Pada penghujung tahun ini misi G1 akan dilancarkan dengan ia membawa robot Vyomitra untuk mengesan keadaan di dalam kapsul serta sistem bantuan hayat.
Empat orang angkasawan telah dipilih untuk program Gaganyaan. India telahpun menghantar angkasawan pertama mereka Rakesh Sharma pada tahun 1984 menggunakan roket Kesatuan Soviet. Sekiranya program Gaganyaan berjaya, India akan menjadi negara keempat berjaya menghantar angkasawan sendiri selepas Rusia, Amerika Syarikat dan China.