Skrin Pintar Apple Dijangka Tiba Pada Mac 2025 Dengan AI
Fahim Zahar
Apple dijangka bakal hadir dengan skrin pintar tersendiri untuk mengawal peranti Internet benda di bawah HomeKit. Ia turut dijangka akan hadir dengan rekaan ikonik seakan iMac G4, ada versi yang mungkin hadir dengan tangan robot dan turut pernah dikatakan mungkin adalah gabungan HomePod dan Apple TV. Baru-baru ini Bloomberg melaporkan yang produk ini akan tiba pada bulan Mac 2025.

Produk ini dikatakan direka untuk dilekatkan pada dinding rumah dengan skrin 6-inci serta saiz tubuh seakan dua iPhone bersebelahan. Untuk kuasa ia akan mempunyai bateri boleh tanggal yang boleh dicas, kemudian akan ada speaker terbina, dan mempunyai dua pilihan warna hitam atau putih. Peranti ini turut akan dilengkapi sensor khas yang boleh mengenalpasti berapa ramai orang berada berdekatan.
Produk baharu Apple ini dilihat mungkin akan berfungsi seakan Pixel Tablet, di mana ia boleh disambungkan dengan aksesori khas untuk diletakkan di atas meja. Pilihan speaker tambahan turut akan diperkenalkan untuk diletakkan di lebih banyak tempat dalam sekitar rumah. Apple turut dilaporkan menggunakan sistem operasi dengan kod nama Pebble, akan memerlukan iPhone untuk melakukan tetapan, serta menyokong ciri Handoff untuk sambung tugasan dari iPhone ke peranti baharu ini.

Skrin pintar ini juga akan menyokong beberapa aplikasi Apple seperti FaceTime, Safari, Apple News dan beberapa lain. Buat masa ini butiran jelas seperti spesifikasi, harga dan jualan di negara mana masih belum diketahui. Sama-sama kita nantikan.
[sumber] Bloomberg [/sumber]