Facebook Messenger Dikemaskini Dengan Integrasi Siri dan Video Latar Belakang AI
Fahim Zahar
Facebook Messenger semakin hari semakin menjadi aplikasi pemesejan serba lengkap. Messenger kini menyokong penyulitan hujung-ke-hujung untuk setiap mesej, telah menerima integrasi chatbot Meta AI, dan baru-baru ini telah menerima peningkatan jumlah pengguna. Terbaru, Messenger telah dikemaskini dengan beberapa ciri baharu yang menarik.

Pertama adalah video latar belakang yang dijana AI, di mana pengguna boleh menjana video sendiri dengan prom teks atau memilih video sedia ada. Kemudian untuk panggilan video terdapat ciri penstriman resolusi HD dan kualiti audio ditambah baik dengan ciri mengurangkan kesan hingar. Seperti WhatsApp, Messenger turut menerima ciri menghantar mesej video.

Meta turut mengintegrasikan sokongan Siri untuk menggunakan Messenger, di mana pengguna kini boleh menyeru Siri untuk menghantar mesej atau memulakan panggilan audio/video. Kemas kini ini dilihat diedarkan secara berperingkat kerana dalam cubaan saya pada peranti Android dan iOS sebentar tadi ciri baharu masih tidak kelihatan.
[sumber] Meta [/sumber]