Hujung bulan lepas, iQOO 13 telah dilancarkan sebagai satu lagi telefon pintar dengan cip Snapdragon 8 Elite. Biasanya peranti yang menjadi terawal dengan cip baharu untuk pasaran Malaysia, namun realme GT 7 Pro yang pertama. Berita baik untuk peminat iQOO, kerana kami secara eksklusif menerima informasi yang peranti ini akan dilancarkan di Malaysia pada bulan Disember tidak lama lagi.
Peranti ini telah pun tersenarai di laman SIRIM, namun butiran pelancaran peranti ini di Malaysia masih dirahsiakan oleh vivo. iQOO 13 turut mengambil inspirasi peranti vivo V dengan menyertakan gegelung LED RGB pada bonggol kamera yang digelar sebagai Monster Halo. Peranti akan dilengkapi skrin AMOLED LTPO 2K 6.82-inci dengan kadar segar semula 144Hz. Selain cip Snapdragon 8 Elite, cip Supercomputing Q2 turut disertakan untuk ciri gaming lebih baik selain menyertakan sokongan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 1TB.
Untuk kamera, iQOO 13 menggunakan gabungan tri-sensor 50MP (Sony IMX921), OIS + 50MP (Samsung S5KJN1) + 50MP (Sony IMX816) dan juga kamera hadapan 32MP. Bateri peranti adalah jenis karbon silikon 6150mAh dengan pengecasan pantas 120W. Peranti juga melepasi penarafan IP68/IP69. Di China, iQOO 13 dijual pada harga bermula sekitar RM2,500 untuk variasi 12/256 GB – berapa agaknya harga jualan di Malaysia? Sama-sama kita nantikan.