Tahun ini xAI telah berjaya membina superkomputer Colossus dengan 100,000 GPU NVIDIA dalam masa 19 hari sahaja dan bukannya setahun seperti kebiasaannya. Ia adalah petanda syarikat kecerdasan buatan (AI) milik Elon Musk ini serius dalam percubaan untuk bersaing dengan OpenAI.
Terkini Colossus akan dinaiktaraf lagi dengan ia akan dilengkapi 1 juta GPU NVIDIA. Colossus dibina di Memphis dengan kerja penaiktarafan telahpun dimulakan. Bagi melancarkan proses ini NVIDIA, Dell, dan Supermicro Computer akan membuka pejabat operasi di Memphis.
Superkomputer Colossus menggunakan cip NVIDIA H100 daripada generasi terdahulu kerana Elon Musk enggan menunggu NVIDIA B100 dan B200 yang lebih baharu. Pengeluaran cip siri Blackwell ini menghadapi isu pemanasan yang memaksa rekaan semula pada rak pelayan yang digunakan.