Carian
Pandang Pertama Honor Magic7 Pro – Kini Lebih Pintar
December 10, 2024 Amy Maizuraa

Honor memaklumkan telefon mercu baharu Magic7 Pro akan tiba di Malaysia. Namun Honor masih berahsia mengenai tarikh pelancaran rasmi untuk peranti berkenaan. Sekalipun demikian Honor telah memberi akses awal kepada media untuk melihat dengan lebih dekat serta berkongsi sejumlah kecil penawarannya kepada umum. Berikut artikel pandang pertama ringkas mengenai perubahan dan tumpuan pada model ketujuh peranti Honor ini yang semakin dicabar oleh pesaing terdekat seperti Huawei dan Samsung.


Saya memohon maaf kerana hanya boleh mengesahkan peranti ini dilengkapi dengan cip Snapdragon 8 Elite sementara spesifikasi lain perlu dirahsiakan sebelum pelancaran rasminya di Malaysia kelak. Di mana cip pemproses yang sama digunakan pada Realme GT7 Pro dan Asus ROG Phone 9 Pro yang baru diumumkan di Malaysia. Pada masa sama boleh menjadi pesaing bagi Oppo Find X8 Pro dan Vivo X200 yang menggunakan cip Mediatek Dimensity 9400. Sekali lagi kami difahamkan hanya model pro yang akan ditawarkan di Malaysia apabila peranti dilancarkan secara rasmi kelak.

Ciri AI Lebih Inovatif

Selain itu ciri AI yang dipertingkatkan turut menjadi nadi utama peranti ini dalam meningkatkan kecekapan, produktiviti dan inovasi. Diantaranya adalah AI Deepfake Detection Technology bagi membantu mencegah penipuan dan mengesan kandungan yang di manipulasi secara digital. Secara teorinya ia menggunakan AI untuk mengesan risiko manipulasi digital lalu memberikan pelindungan kepada pengguna daripada ancaman penipuan pemalsuan wajah yang semakin berleluasa.

AI dikatakan bergantung pada kesinambungan diantara bingkai dan kedudukan subjek untuk mengesan pemalsuan wajah yang berlaku. Kemudian membolehkan peranti mengesan sebarang keadaan tidak normal atau kejanggalan yang berlaku melibatkan pandangan mata, kejelasan imej, pencahayaan dan ulangan video dalam hanya beberapa saat. Amaran akan diberikan melalui skrin utama peranti bagi membantu pengguna mengenal pasti ancaman penipuan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

Cubaan ringkas mendapati sekiranya telefon ini mengesyaki berlakunya pemalsuan wajah sewaktu panggilan video maka ia akan memaparkan pemberitahuan di bahagian atas skrin untuk memberi amaran kepada pengguna. Keadaan ini dikatakan berlaku sepenuhnya pada telefon tanpa memerlukan pengguna berkongsi sebarang data ke awanan. Selain itu boleh digunakan dalam beberapa pilihan aplikasi yang disokong seperti WhatsApp, Facebook Messenger dan Wechat dengan rangkaian internet yang aktif.

Keutamaan turut diberikan pada ciri AI Magic Portal 2.0 yang kini menggantikan fungsi Circle to Search dengan keupayaan Circle to Anything yang lebih serba boleh. Ia membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkara serta merta dengan hanya membuat bulatan pada objek atau teks yang berkaitan. Ia bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat carian semata malahan berfungsi bagi tujuan lain seperti navigasi lokasi, perkongsian kandungan, penghantaran e-mel, pembelian barangan dan banyak lagi.

Sebagai tambahannya lagi imej dipilih turut boleh disunting kemudian disimpan di dalam galeri secara langsung. MagicOS 9.0 juga disertakan dengan aplikasi Google Gemini untuk meningkatkan produktiviti dan kreativiti di mana pengguna boleh menulis, menganalisis serta mencipta imej melaluinya.

Terdapat juga ciri Magic Avatar yang menggunakan AI untuk mencipta avatar yang realistik dan unik berdasarkan karakter pilihan pengguna. Ia juga membenarkan pengguna memilih lebih pelbagai gaya dengan tetapan berbeza untuk rupa paras, pemakaian, ekspresi wajah dan latar belakang. Selain turut boleh digunakan sebagai gambar profil dan latar pada peranti untuk lebih menarik.

Tidak ketinggalan juga, ciri AI Notes yang kini lebih serba boleh melalui keupayaan AI Summary yang boleh meringkaskan sebarang kandungan bertulis yang panjang dengan hanya memaparkan perkara penting yang menarik dalam beberapa saat. AI Minutes pula boleh menghasilkan nota dan transkripsi secara automatik yang diformatkan daripada audio langsung termasuk minit mesyuarat, temu bual dan lain-lain. Sebarang kandungan turut boleh disusun dengan teratur dan kemas mengikut tajuk serta subtajuk yang bersesuaian menggunakan ciri AI Format.

Dalam pada itu fungsi AI Face to Face Translation juga lebih baik melalui tambahan sehingga 13 bahasa berbeza baharu yang termasuk Bahasa Malaysia, Korea, Japan dan Kantonis (Mandarin). Terdapat juga fungsi Interpreter seakan peranti Samsung yang membolehkan pengguna berbual tanpa halangan lalu menjadikan komunikasi lebih mudah diakses oleh individu daripada latar belakang bahasa yang berbeza secara masa nyata.

Rekabentuk Peranti

Pengalaman memegang peranti dirasakan tidak jauh berbeza dengan model sebelum ini. Ia bukan sahaja kukuh malahan terasa lebih tegap di dalam genggaman. Bahkan turut diakui peranti sememangnya lebih berat namun masih seimbang baik daripada bahagian atas mahupun bawah. Selain itu panel belakang juga terasa licin meskipun menggunakan kemasan yang pusam. Honor juga memberikan kerangka silikon lutsinar yang boleh dijadikan sebagai pelindungan tambahan dengan setiap pembelian.

Bonggol kamera masih dikekalkan dalam kedudukan yang sama dengan model sebelum ini. Ia juga masih besar dan tebal dengan perubahan ketara pada susunan sensor kamera di dalam grid 2 x 2 bersama flash yang dilindungi lapisan kaca sepenuhnya. Sekali lagi sensor periskop boleh diberikan di sini namun masih belum dapat diperincikan sama ada lebih baik berbanding sebelum ini atau sebaliknya. Memandangkan hasilnya hanya boleh dibuktikan dalam ujian lanjut yang akan dikongsikan dalam artikel ulasan akan datang.

Secara keseluruhan peranti ini nampak lebih kemas dan tegap berbanding beberapa model sedia ada. Butang kuasa dan laras audio berada di bahagian sisi kanan. Sokongan pemancar infra merah juga masih disediakan pada bahagian sisi atas bersama satu kekisi untuk pembesar suara stereo. Bahagian sisi kiri tidak menempatkan sebarang port dan butang. Sementara itu port USB-C, kekisi pembesar suara dan talam dwi-SIM bersaiz nano turut boleh ditemui di bahagian sisi bawah peranti.

Sekali lagi tiada sokongan bicu audio 3.5mm yang sedia dibuang sejak model Magic4 Pro lagi. Namun sebenarnya yang mencuri perhatian tentulah ketahanan kalis air IP68/69 yang sepatutnya mampu melindungi peranti dari kerosakan air bertekanan tinggi.


Apa Dalam Kotak?

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Honor Magic7 Pro.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 100W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

Kesimpulan

Magic7 Pro adalah lebih tegap dan diperkasakan dengan perisian AI yang dipertingkatkan berbanding model yang diperkenalkan sebelum ini. Penggunaan peranti juga masih sama dengan kebolehan tidak jauh berbeza berbanding telefon mercu Honor sedia ada.

Beberapa peningkatan untuk perisian AI kini lebih memudahkan tugasan harian pengguna khususnya ciri Interpreter yang sangat berguna untuk perbualan berbeza bahasa secara masa nyata. Selain turut dijangka mampu menarik perhatian pengguna untuk membeli telefon pintar baharu Honor ini.

Pesaing dalam kategori telefon mercu semakin sengit berbanding sebelum ini memandangkan pengeluar tidak henti-henti menjadi yang terbaik dalam menawarkan ciri menarik. Dapatkan kita melihat Honor memberikan kepuasan melalui telefon baharu ini? Persoalan ini hanya boleh dijawab menerusi artikel ulasan akan datang.


Pro Dan Kelebihan

  • Rekaan lebih tegap dan selesa di tangan.
  • Spesifikasi kelas mercu lebih berkuasa.
  • Ciri AI yang inovatif.
  • Kalis air IP68/69.
  • Masih mempunyai pemancar infra merah.

Kontra Dan Kekurangan

  • Tiada bicu audio 3.5mm.
  • Bonggol kamera masih tebal dan besar.
  • Kemasan terasa licin.
Komen