Google Memperlihatkan Lagi Kemampuan Pembantu Maya Sarwajagat Project Astra
Effi Saharudin
Siri, Assistant, Gemini dan Celia adalah antara pembantu maya yang telah diberikan kepada telefon pintar sejak bertahun lamanya. Pengguna pembantu maya sedia ada pasti tahu kekuatan dan kekurangan sistem sedia ada. Semalam Google telah berkongsi video baharu Project Astra iaitu sebuah pembantu maya sarwajagat yang diperkasakan oleh kecerdasan buatan (AI) Gemini 2.0.
Project Astra diperlihatkan pertama kali ketika Google I/O pada Mei lalu. Dalam video di atas kemampuannya memahami audio, teks, gambar dan simbol digunakan untuk membantu pengguna. Antara yang boleh dilakukan ialah membaca emel dan kemudian mencari kod untuk menyahkunci pintu.
Ia juga boleh memahami simbol pada pakaian untuk mengetahui teknik basuhan yang betul sebelum melihat butang pada mesin basuh dan memberitahu apakah tetapan yang perlu digunakan bagi mengelakkan kerosakan. Kemampuan sebenar Astra ialah menjadi pembantu maya cermin mata pintar dengan pelbagai arahan diberikan hanya dengan menggunakan suara.
Ciri Astra adalah mirip dengan kemampuan ChatGPT voice mode yang juga telah diperlihatkan tahun ini. Yang pasti kedua-dua pembantu maya ini adalah lebih baik jika dibandingkan dengan yang digunakan pada Rabbit R1 dan Humane AI Pin.