Blu-ray diperkenalkan hampir 20 tahun dahulu dimana untuk pengguna, ia merupakan medium penyimpanan data secara fizikal yang digunakan sehingga hari ini untuk filem, muzik dan juga permainan-permainan konsol moden.
Kebelakangan ini, penggunaan medium tersebut dilihat telah merosot dengan mendadak, khususnya kerana muat-turun digital dan penstriman atas-talian dilihat lebih cepat, mudah dan murah berbanding dengan membeli media fizikal.
Terkini ia dilaporkan bahawa LG, syarikat teknologi dari Korea Selatan yang terkenal untuk pelbagai penawaran komponen dan produk elektronik mereka nampaknya telah menghentikan pengeluaran pemacu cakera Blu-ray mereka.
Ini termasuklah model-model pemacu Blu-ray UBK80 dan UBK90 yang merupakan dua daripada model pemacu Blu-ray mereka yang paling popular. Perkara ini disahkan oleh pengedar dan pekedai elektronik global yang mengesahkan bahawa mereka sudah tidak menerima penghantaran pemacu Blu-ray ini, dan ia hanya akan dijual selagi stok masih ada.
Sebelum ini kami sudahpun melaporkan bahawa syarikat elektronik lain seperti Oppo dan Samsung semuanya sudah tidak lagi mengeluarkan produk pemacu blu-ray mereka sendiri, dengan Sony sendiri sudah menghentikan pengeluaran pemacu Blu-ray mereka untuk memfokuskan kepada bahagian-bahagian perniagaan mereka yang lain.