Nothing OS 3.0 berasaskan Android 15 adalah sistem operasi untuk telefon pintar Nothing generasi baharu yang memfokuskan kepada AI. Ia menawarkan talam aplikasi pintar, widget pembaca berita, aplikasi Nothing Gallery dengan ciri carian AI, antaramuka baharu yang lebih kemas dan juga penggunaan font San Serif berbanding NDot. Ujian beta masih diteruskan dan kini satu lagi peranti mula menerimanya.
Selepas CMF Phone 1 iaitu peranti Nothing paling murah mereka menerima kemas kini ini beberapa hari lepas, kini giliran tiba untuk Nothing (2a) Plus. Versi beta ini turut menawarkan prestasi lebih baik, kualiti kamera yang dipertingkatkan, lebih banyak kemampuan kustomasi dan juga widget interaksi.
Nothing dijangka akan mengambil masa sekitar satu ke dua bulan untuk mengujinya. Versi stabil akan diberikan kepada Nothing Phone (2) dan Phone (2a) dahulu pada awal tahun 2025. Kemudian versi baharu Nothing OS dengan integrasi AI mendalam akan tiba untuk Phone (30).