Carian
Intel Tidak Menidakkan Pengasingan Bahagian Faundri Dari Syarikat
December 13, 2024 Nazrin

Intel baru-baru ini telah menerima geran $3 bilion dari pelaburan CHIPS Act oleh kerajaan Amerika Syarikat, tetapi ia hadir dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Salah satu daripadanya ialah Intel perlu mengekalkan pemilikan majoriti pada pegangan saham bahagian faundri mereka sekiranya mereka mahu mengasingkan perniagaan tersebut daripada syarikat utama.

Perkara ini bukan satu isu buat masa ini, kerana syarikat tersebut enggan melakukan perkara tersebut buat masa ini. Akan tetapi ia bukanlah bermakna bahawa ia tidak akan berlaku di masa hadapan, dan perkara ini bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh CEO Intel baru yang akan dilantik kelak.

Intel HQ

Buat masa ini, jawatan tersebut dipegang oleh Michelle Johnston Holthaus dan David Zinsner sementara Intel mencari CEO baru mereka. Michelle mengatakan bahawa langkah untuk memisahkan bahagian faundri dari syarikat induk buat masa ini bukanlah satu langkah yang bijak, dan secara teknikalnya, Intel Foundry sudahpun secara teknikalnya beroperasi dengan kendiri tanpa begitu banyak input dari syarikat induk.

David Zinsner pula mengatakan bahawa walaupun Pat Gelsinger telah meninggalkan Intel, fokus syarikat tersebut masih lagi sama buat masa ini, iaitu untuk menghidupkan kembali bahagian pengeluaran cip semikonduktor tersebut dengan pelan 5N4Y mereka, untuk membangunkan lima nod pengeluaran cip semikonduktor dalam masa empat tahun.

Tahun depan akan memperlihatkan Intel mengaktifkan nod 18A mereka yang diharapkan boleh dimanfaatkan untuk mengeluarkan cip-cip Intel semula, khususnya apabila semua cip pemprosesan mereka pada tahun ini, termasuklah Lunar Lake, Arrow Lake dan cip pemprosesan grafik Intel Arc Battlemage semuanya dilakukan oleh TSMC.

Intel mengharapkan bahawa mereka boleh mengurangkan kadar komponen yang rosak apabila menggunakan proses tersebut, sekiranya tidak, mereka nampaknya akan perlu mengambil langkah yang agak drastik tidak lama lagi.

Komen